Isu SemasaMalaysiaTempatan

Tol Boleh Dimansuhkan, Tetapi Secara Berperingkat

Memansuhkan tol merupakan salah satu daripada janji yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, janji ini boleh ditunaikan, tetapi ia perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Ujar beliau, kerajaan juga tidak mempunyai keupayaan untuk menghapuskan semua tol di seluruh negara secara serentak pada masa ini

Menurut Amiruddin, pemansuhan tol juga boleh memberi impak positif terhadap ekonomi negara, terutamanya dari aspek harga barang.

“Tol menjadi salah satu daripada komponen yang mereka (peniaga) katakan kami terpaksa jual dengan harga begini sebab kos pengangkutan kami begini.

“Jadi bila tol sudah tidak dikenakan lagi, maka satu komponen daripada kos itu akan hilang seterusnya beri impak (penurunan) kepada harga barangan, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan media tempatan, beliau turut menyatakan bahawa sekiranya tol dihapuskan, pemansuhannya akan bermula dengan lebuh raya yang tidak mempunyai jalan alternatif.

“Terdapat lebuh raya bertol yang mempunyai jalan-jalan alternatif, di mana jika orang ramai tidak mahu membayar tol, mereka boleh menggunakan jalan biasa, tetapi akan mempunyai lebih banyak kenderaan dan lampu trafik.

“Namun, kita perlu lihat sama ada kita mempunyai kemampuan atau tidak, kerana kita juga perlu mengambil kira pampasan dan ganti rugi yang perlu dibayar kepada syarikat-syarikat konsesi yang terlibat,” jelasnya.

Tambah beliau, kajian lebih lanjut yang melibatkan semua pihak berkaitan (termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan) juga perlu dilaksanakan sebelum perkara ini boleh dibawa ke Jemaah Menteri.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker