Isu SemasaMalaysiaTempatan

Hubungan Malaysia & China Hampir 2,000 Tahun

Malaysia dan China akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan ini akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hubungan di antara Kuala Lumpur dan Beijing ini perlu memberi fokus terhadap pembangunan ekonomi, dan bukannya konfrontasi.

Oleh yang demikian, Dr. Mahathir amat mengalu-alukan ahli-ahli perniagaan dari China untuk melakukan pelaburan di Malaysia.

“Kita tidak menentang mana-mana syarikat China, tetapi kita membantah apabila Malaysia meminjam jumlah wang yang besar untuk melaksanakan projek-projek yang tidak sepatutnya,” katanya di China Entrepreneur Leaders Forum baru-baru ini.

Dr. Mahathir telah berada di China sejak hari Jumaat lepas, 17 Ogos 2018 untuk mengadakan lawatan rasmi selama lima hari di negara itu.

Memetik laporan New Straits Times, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia telah menjalinkan hubungan dengan China selama hampir 2,000 tahun.

“Hari ini, perdagangan China bersama Malaysia adalah yang terbesar berbanding negara-negara lain di rantau ini.

“China pernah miskin pada suatu ketika dahulu, tetapi China kini sudah kaya….Malah ketika ia miskin juga, ia masih menjadi pasaran untuk Malaysia…. tetapi sekarang ia sudah kaya dan kami rasa China adalah pasaran yang besar,” ujarnya.

Menerusi perdagangan dan pelaburan China di Malaysia, kedua-dua pihak akan meraih manfaat selain daripada mampu membina pasaran yang lebih besar untuk China.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia dan China akan saling melengkapi di antara satu sama lain, khususnya dalam bidang ekonomi, demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, kedua-dua negara akan memperoleh manfaat dengan menerusi hubungan yang baik di antara satu sama lain, (dan) masalah di antara kita juga akan diselesaikan bukan dengan konfrontasi, tetapi melalui rundingan, timbang tara, dan undang-undang mahkamah.

“Itu adalah cara yang betul,” tegas beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker