AntarabangsaIsu Semasa

Bajet Pertahanan 2019 Jepun Mencecah 5.3 Trilion Yen

Kementerian Pertahanan Jepun sedang mempertimbangkan untuk meminta peruntukan mencecah 5.3 trilion yen (RM196 bilion) untuk bajet 2019.

Memetik laporan Reuters, sumber menyatakan bahawa jumlah tersebut adalah 100 bilion yen lebih besar daripada bajet 2018, kerana ia termasuk kos untuk membeli Aegis Ashore, iaitu sistem pertahanan peluru berpandu canggih buatan Amerika Syarikat (AS).

Dua radar canggih Aegis itu sahaja dijangka akan menelan belanja sebanyak 267.9 bilion yen (RM9.9 bilion), daripada bajet keseluruhan yang telah diminta.

Difahamkan, bajet tahun 2018 yang bermula daripada bulan April, mencatatkan jumlah 5.19 trilion yen (RM192 bilion).

Program pertahanan selama tempoh 5 tahun di bawah bajet 2018 juga menyebabkan peningkatan dalam bajet pertahanan Jepun sebanyak 0.8%.

Oleh yang demikian, kementerian tersebut menyasarkan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan nilai bajet itu kepada 1% atau lebih dalam program pertahanannya yang akan datang.

Kementerian Pertahanan merancang untuk memasang sistem berkenaan di wilayah Akita dan Yamaguchi berikutan ketidaktentuan program senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta pengukuhan ketenteraan China.

Pihak kementerian turut bercadang untuk mengukuhkan lagi pertahanan Jepun terhadap ancaman peluru berpandu balistik kerana ancaman dari Korea Utara masih tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun negara itu sudah mengadakan sidang kemuncak bersama AS pada bulan Jun lalu sebagai sebahagian daripada langkah permulaan untuk denuklearisasi.

Jepun juga merasakan bahawa mereka perlu meningkatkan keupayaan untuk melindungi pulau-pulau di barat daya negara itu susulan peningkatan aktiviti ketenteraan China di Laut China Timur.

Selain daripada membeli sistem Aegis Ashore, bajet 2019 Jepun akan turut merangkumi pembelian 42 buah jet pejuang halimunan F-35A.

Bukan itu sahaja, malah Jepun juga akan menyediakan peruntukan dalam usaha membendung ancaman-ancaman bukan berunsur ketenteraan seperti keselamatan siber, dan gelombang elektromagnetik.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker