AntarabangsaIsu Semasa

“Nikkei” Bahagia Menjalani Kehidupan Di Brazil

Pada bulan Jun 1908, kira-kira 781 orang warga Jepun, terutamanya dari kalangan petani, telah berhijrah ke Brazil menaiki kapal kargo dan penumpang bernama Kasato Maru. 

Individu berketurunan Jepun yang berhijrah ke sesebuah negara asing dan kemudian menjadi rakyat di negara berkenaan dikenali sebagai ‘Nikkei’. 

Pada waktu itu juga, era perindustrian Jepun baru sahaja bermula, dan itu telah menyebabkan ramai golongan berpendapatan rendah seperti petani mengalami kerugian kerana dikenakan cukai yang tinggi.

Oleh yang demikian, mereka telah berhijrah lalu memulakan kehidupan baru dan bekerja ladang-ladang kopi di Amerika Selatan, yang juga sedang mengalami masalah kekurangan pekerja.

Bukan itu sahaja, malah selepas kesengsaraan akibat Perang Dunia Kedua, lebih ramai penduduk Jepun telah melarikan diri daripada tanah air mereka.

Kini, Brazil menjadi kediaman kepada komuniti nikkei yang terbesar di dunia, iaitu 1.9 juta orang dan mereka kini tidak asing lagi dengan cara hidup masyarakat tempatan.

Baru-baru ini juga, Puteri Mako, iaitu cucu kepada Maharaja Jepun, Akihito, telah mengunjungi Brazil untuk melawat bandar-bandar yang didiami oleh nikkei sambil menyambut ulang tahun ke-110 perjalanan kumpulan migran yang pertama menuju ke sana.

“Selepas peperangan, Jepun berada dalam keadaan yang sukar. Saya datang ke Brazil ketika berusia 19 tahun, keseorangan diri dan penuh dengan harapan.

“Semua yang kami peroleh adalah menerusi usaha dan kerja keras. Saya mempelajari pelbagai perkara di sini,” kata seorang nikkei bernama Yoshiharu Kikuchi.

Memetik laporan AFP, Kikuchi mempunyai dua orang anak dan lima cucu yang dilahirkan di Brazil, dan beliau juga tidak bercadang untuk pulang semula ke Jepun.

Kini sudah bersara, Kikuchi menjadi anggota sukarelawan di beberapa organisasi kebajikan, di mana salah satu organisasi tersebut menggunakan kaedah-kaedah Jepun untuk membantu kanak-kanak yang mengalami autism.

“Kehidupan membuka lebih banyak pintu kepada kita apabila kita membantu orang lain,” katanya.

Seorang lagi warga Nikkei, Rumi Kusumoto, menyatakan bahawa ibunya telah berhijrah ke Brazil sejak tahun 1910 lagi.

“Saya telah dilahirkan untuk menjalani kehidupan di luar Jepun. Saya menyesuaikan diri dengan cepat dan mungkin tidak akan pulang semula (ke tanah air)”.

“Saya lebih mengenali Brazil. Ia adalah negara yang membuka semua ‘pintu’ untuk saya,” katanya.

Sementara itu, Eiki Shimabukuro juga merupakan salah seorang warga Jepun yang datang ke Brazil ketika masih kecil lagi.

Shimabukuro telah bekerja selama beberapa tahun sebagai petani, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan dan kemudian diambil bekerja di syarikat minyak Brazil, Petrobas.

Pada tahun 1948, beliau menerima biasiswa untuk belajar selama tiga bulan di Jepun.

“Walaupun saya dilahirkan di sini (Jepun), saya terkejut….Semuanya teratur dan terancang – ia amat berebeza daripada Brazil,” ujarnya.

Walaupun sudah kembali semula ke Brazil, Shimabukuro tidak bercadang untuk pulang ke Jepun, namun akan menerapkan nilai-nilai murni Jepun ke dalam komuniti di Brazil.

“Di Brazil, kita mempunyai pelbagai perkara yang boleh dipelajari daripada Jepun, dari segi kejujuran, etika, dan moral.

“Terdapat pelbagai nilai-nilai positif yang boleh diterapkan di sini,” jelas beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker