Gaya HidupMakan & Minum

Inovasi Lemang Sushi Cetus Fenomena

Mendengarkan namanya sahaja, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang membezakan lemang sushi ini dengan lemang tradisional biasa. Adakah rasa dan aroma makanan tradisional yang berasaskan santan dan beras pulut ini dikekalkan?

Inovasi lemang sushi yang diperkenalkan pengusahanya, Zuriati Sulaiman, di pekan Kuala Pilah, mula dikenali sejak awal tahun lalu. Ia kini berjaya menjadi fenomena di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Tidak siapa menduga, dengan hanya bermula sebagai penjual serunding ikan bilis dan popia simpul, usahawan wanita berusia 51 tahun ini mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya lima angka sebulan.

Zuriati menunjukkan produk serundingnya yang telah berjaya menembusi pasaran pasar raya-pasar raya terkemuka. Astro AWANI / SHUHADA KADIR

Menurut Zuriati, ketika awal pembabitannya pada 2005, syarikat Awie Enterprise miliknya hanya mengeluarkan serunding ikan bilis dan popia simpul yang dipasarkan di kedai-kedai runcit sekitar pekan Kuala Pilah.

Inovasi lemang sushi dengan meletakkan inti di tengah-tengah lemang bermula daripada idea suaminya, Azizi Abd Muin, 56 tahun.

“Asalnya, idea itu tercetus apabila kami mendapat mesin pembakar lemang daripada Jabatan Pertanian negeri (JPNS) pada 2016.

“Mula-mula, kami belajar buat lemang biasa. Kemudian, suami saya dapat idea, apa kata kita masukkan inti dalam lemang, jadi ‘dua dalam satu’.

“Maknanya, orang makan tak payah cicah lagi. Dalam lemang, dah siap lauknya,” ujar usahawan bimbingan MARA ini ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Lemang sushi tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang dan dibakar dalam ketuhar khas. Astro AWANI / SHUHADA KADIR

Keunikan rasa pedas serundingnya yang selari dengan citarasa Negeri Sembilan semakin mendapat tempat sebelum produknya dikembangkan dengan penghasilan serunding daging, serunding ayam dan juga rendang daging minang.

Tidak mahu terus berada di takuk lama, berkat usahanya, perniagaannya semakin maju dengan inovasi penghasilan lemang sushi. Percubaan selama tiga bulan kemudiannya membuahkan hasil.

Maka tercetuslah lima jenis lemang sushi – lemang serunding daging, lemang serunding ayam, lemang serunding ikan bilis, lemang rendang daging minang dan lemang berinti durian D24 yang kini berada di pasaran menerusi kira-kira 20 ejen yang dilantik.

Malah, Zuriati merupakan satu-satunya pengeluar produk lemang sushi di negara ini yang mendapat pengiktirafan daripada Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Pada hari-hari biasa, Awie Enterprise mampu menghasilkan kira-kira 600 batang lemang sushi dalam sebulan. Astro AWANI / SHUHADA KADIR

Menceritakan produknya, ibu anak satu ini berkata: “Lemang ini tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang dan dibakar dalam ketuhar khas, hasil bantuan Mardi dan JPNS.

“Ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk penghasilannya sebelum dijadikan produk sejuk beku dan dipasarkan,” katanya sambil menambah, proses pembuatan produknya masih mengekalkan cara tradisional iaitu menggunakan santan dan beras pulut biasa.

Menurut Zuriati lagi, lemang sushi tersebut disejukbekukan dan boleh dimasak semula di dalam ketuhar gelombang mikro atau dikukus bagi mendapatkan kembali rasa yang enak dan lembut.

Lemang sushi yang bersaiz sembilan inci panjang ini dipasarkan pada harga RM18 hingga RM20 sebatang. Astro AWANI / SHUHADA KADIR

Kesemua lemang sushi yang bersaiz sembilan inci panjang ini dipasarkan pada harga RM18 hingga RM20 sebatang.

Zuriati berkata, pada hari-hari biasa, dia yang dibantu oleh anak dan menantunya serta lima pekerja lain, mampu menghasilkan kira-kira 600 batang dalam sebulan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker