Isu SemasaTempatan

Agama Bukan Penyebab Kemerosotan Ekonomi

Sesetengah orang mempercayai bahawa sesebuah negara yang berlandaskan agama tidak akan mampu menikmati kesejahteraan ekonomi.

Dalam erti kata lain, golongan ini berpandangan bahawa semakin ‘beragama’ sesebuah negara itu, ia akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang rendah, manakala negara sekular yang mempunyai kebebasan sivil dan hak-hak politik pula lebih cenderung untuk menikmati pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Menurut Suzana Md Samsudi, seorang Felo di Pusat Pengajian Ekonomi dan Sosial di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi penulisannya di New Straits Times berjudul “Don’t blame religion for poor economic performance”, nilai-nilai tradisional menekankan kepentingan agama, taat kepada kepimpinan (pemimpin, kerajaan, dan sebagainya), serta nilai-nilai kekeluargaan.

Negara-negara Afrika dan Asia Selatan, seperti Zimbabwe, Maghribi, Bangladesh dan Malaysia, merupakan antara negara yang mempunyai nilai-nilai tradisional yang tinggi.

Sementara itu, negara-negara yang mengamalkan nilai sekular pula termasuk:

– Bekas negara komunis seperti Rusia, Bulgaria, dan Ukraine

– Negara-negara Eropah seperti Jerman, Perancis dan Switzerland

– Negara-negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan utama seperti Britain, Kanada dan Australia

Suzana berkata, kajian mendapati bahawa rakyat di negara-negara miskin lebih cenderung untuk mengamalkan ajaran agama berbanding penduduk di negara yang lebih kaya atau berpendapatan tinggi.

Tambah beliau, berdasarkan statistik, kepercayaan dan amalan agama semakin berkurangan di kebanyakan negara-negara maju.

Bagi negara-negara miskin atau kurang membangun pula, nilai, amalan serta prinsip keagamaan masih kekal penting dan relevan.

Walau bagaimanapun, agama tidak patut dipersalahkan atas kemerosotan ekonomi bagi sesebuah negara itu.

Dari segi konteks Islamik, analisa prestasi ekonomi dan kepercayaan keagamaan mendapati bahawa Islam mempromosikan pertumbuhan ekonomi.

Terdapat banyak ayat di dalam kitab suci Al-Quran yang menekankan kepentingan aktiviti ekonomi dan komersil.

Di dalam Islam, setiap manusia perlu mencari kekayaan harta sebagai salah satu bentuk ketaatan kepada Allah S.W.T.

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “. – Surah Al-Qasas Ayat 77

Ibadat merupakan satu konsep yang luas di dalam Islam, dan ia mengiktiraf bahawa manusia akan mendapat ganjaran jika menunaikan kewajipan dunia dan akhirat.

Keseimbangan tanggungjawab terhadap kemanusiaan, masyarakat dan persekitaran di dalam Islam juga adalah selaras serta amat sesuai dengan prinsip-prinsip Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ia boleh menjadi rujukan untuk kerangka kerja yang ideal dalam mewujudkan masyarakat yang mengamalkan tanggungjawab sosial.

Oleh yang demikian dari pandangan Islam, ia adalah tidak wajar untuk menyalahkan agama di atas prestasi ekonomi yang buruk.

Tegas Suzana, apa yang perlu diperbetulkan adalah konteks atau definisi yang tepat mengenai “kesejahteraan ekonomi”.

Di dalam Islam, kekayaan ekonomi ditakrifkan berlandaskan solidariti secara berkumpulan, bukan sekadar perjuangan individu.

Disebabkan itu, Islam amat menekankan perkongsian kekayaan ekonomi menerusi pelbagai platform kebajikan seperti zakat, wakaf dan sedekah.

Beliau berkata, kita juga perlu faham bahawa terdapat pelbagai masalah lain yang boleh menyekat kemajuan ekonomi, seperti ideologi songsang, tadbir urus yang buruk, rasuah, dan sebagainya.

Oleh itu, agama tidak memberi impak secara langsung terhadap kekayaan ekonomi sesebuah negara.

Pada masa yang sama, kesejahteraan ekonomi juga merangkumi pelbagai faktor lain termasuk kemahiran bekerja, pencapaian dalam bidang pendidikan, serta penglibatan wanita dalam pelbagai perkara.

Dari segi metodologi juga, tiada bukti jelas yang menunjukkan agama mempengaruhi pertumbuhan ekonomi atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, orang Islam amat digalakkan untuk menjalankan perniagaan. Nabi Muhammad S.A.W juga terlibat dalam pelbagai aktiviti perdagangan.

Bukan itu sahaja, malah undang-undang Islam juga secara jelas telah menetapkan jenis-jenis kegiatan ekonomi yang dibenarkan (halal) dan dilarang (haram).

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker