Isu SemasaTempatan

Kadar Kelahiran Menurun Untuk Tahun Ini

Jumlah penduduk Malaysia pada 2018 dianggarkan mencapai 32.4 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.4 juta, lapor statistik Indikator Demografi Terpilih Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkaan di Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidi berkata, kadar kelahiran di negara ini dianggar akan menurun di mana kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk adalah 15.8 berbanding 16.1 pada 2017 manakala kadar kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 2018 dianggarkan 5.1 kematian berbanding dengan 5.2 kematian pada 2017.

“Kadar kesuburan keseluruhan bagi wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2018 dianggarkan 1.9 kanak-kanak tetapi penurunan kadar kelahiran disebabkan oleh kadar kesuburan keseluruhan di Malaysia adalah di bawah tahap penggantian, iaitu 2.1, di mana bilangan purata daripada bayi yang dilahirkan oleh wanita semasa tempoh kesuburannya tidak cukup untuk menggantikan dia dan pasangannya.

“Penurunan kadar kesuburan keseluruhan ini juga merupakan salah satu faktor demografi yang menyumbang kepada penuaan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan itu juga mencatatkan jangkaan jangka hayat seorang bayi perempuan yang baru lahir untuk tahun 2018 iaitu 4.9 tahun lebih lama daripada bayi lelaki dengan purata jangka hayat bayi wanita mencapai 77.6 tahun berbanding 72.7 tahun untuk lelaki.

Bagi indikator jantina, bilangan lelaki dianggarkan meningkat kepada 14.69 juta berbanding anggaran 14.37 juta wanita tahun ini.

Dalam tempoh yang sama, taburan penduduk mengikut umur merekodkan golongan umur 15 hingga 64 tahun meningkat kepada 22.58 juta dengan trend yang sama dilihat untuk golongan umur 65 tahun dan sehingga 2.10 juta.

“Sebaliknya, golongan umur 0 hingga 14 tahun, dianggarkan turun kepada 7.71 juta tahun ini berbanding dengan 7.73 juta pada tahun 2017,” kata laporan tersebut.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker