AntarabangsaIsu Semasa

China Sedang Mengadakan Latihan Untuk Menyerang AS?

Di tengah-tengah ketegangan perang dagang di antara China dan Amerika Syarikat (AS), Pentagon mendedahkan bahawa tentera China, iaitu Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), telah mengembangkan lagi operasi pesawat pengebomnya sejak beberapa tahun yang lalu dan juga mungkin sedang “melakukan latihan untuk menyerang” AS serta sekutu-sekutunya.

Lapor Reuters, perkara ini terkandung di dalam laporan tahunan Pentagon yang menunjukkan usaha China untuk meningkatkan pengaruhnya di peringkat global, serta peningkatan perbelanjaan pertahanan negara itu yang dianggarkan mencecah AS$190 bilion (RM779 bilion) pada tahun 2017.

“Sejak tiga tahun lepas, PLA telah mengembangkan kawasan operasi pesawat pengebomnya di lautan dengan cepat, sekali gus memperoleh pengetahuan yang luas mengenai kawasan-kawasan maritim yang kritikal, dan mungkin sedang berlatih untuk menyerang AS serta sekutu-sekutunya,” kata laporan itu.

Menurut laporan tersebut lagi, walaupun PLA terus mengembangkan operasinya, ia masih tidak jelas apa yang cuba disampaikan oleh Beijing dengan melakukan ujian penerbangan pesawat pengeboman, selain daripada menunjukkan peningkatan keupayaan ketenteraan mereka.

Pada tahun ini, angkatan tentera udara China telah menghantar pesawat pengebom di kepulauan-kepulauan di Laut China Selatan, sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan mereka di kawasan perairan yang dipertikaikan itu.

Pada bulan Januari pula, Pentagon telah melabel China dan Rusia sebagai “ancaman” di bawah strategi pertahanan baru AS.

Difahamkan, Washington dan Beijing masih mengekalkan hubungan ketenteraan di antara satu sama lain.

Namun perkara ini menyaksikan pelbagai drama dan dugaan, terutamanya pada bulan Mei apabila Pentagon membatalkan jemputan mereka kepada China pada untuk menyertai program latihan ketenteraan laut pelbagai negara yang dianjurkan oleh AS.

Laporan Pentagon turut mendedahkan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi China bergerak dengan perlahan, bajet pertahanan rasmi negara itu dijangka akan mencecah lebih daripada AS$240 bilion (RM948 bilion) menjelang tahun 2028.

Bukan itu sahaja, program angkasa China juga sedang berkembang dengan pantas walaupun negara itu tidak bersetuju dengan “militarisasi ruang angkasa lepas”.

“PLA terus mengukuhkan keupayaan angkasa tenteranya walaupun pendirian umumnya bercanggah dengan militarisasi di angkasa,” kata Pentagon.

Dalam pada itu, pentadbiran Presiden Donald Trump juga telah mengumumkan penubuhan “tentera angkasa” sebagai cabang keenam ketenteraan AS menjelang tahun 2020 nanti.

Salah satu ‘sebab utama’ pasukan ini mahu ditubuhkan adalah kerana “China dilihat semakin bersedia untuk menyerang keupayaan angkasa AS sekiranya berlaku konflik.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker