Bye-bye lampin! Sudah pasti ini satu perkara yang menggembirakan ibubapa kerana boleh jimat dari mengeluarkan duit membeli lampin.
Tetapi tahukah anda bila sebenarnya masa sesuai untuk anak kita bercerai dari lampin dan dilatih ke tandas?
Tiada had umur bercerai lampin
Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Ibubapa tidak perlu tertekan dan memaksa keadaan kerana jika anda memaksa anak anda untuk melakukannya, ia akan mendatangkan kesukaran untuk diri sendiri.
Biasanya ibubapa memilih untuk mengajar anak ke tandas apabila mereka mahu menginjak kaki ke tadika. Tetapi sebenarnya anda boleh mula mengajar mereka apabila mereka sudah pandai menerima arahan dan bercakap.
Namun jika anda masih tidak yakin walaupun anak anda sudah pandai bercakap, mungkin petanda-petanda anak anda sudah bersedia ini boleh membantu anda.
-
Kurang lampin basah
Selepas anak anda berusia 20 bulan, anda mendapati lampin mereka kering dengan jangka masa yang lama. Ini bererti anak anda sudah pandai menahan kencing.
2. Mengasingkan diri ke suatu tempat untuk buang air
Jika anak anda akan pergi ke suatu tempat (hujung bilik contohnya) untuk buang air atau melakukan aksi seperti mencangkung, menundukkan badan atau meneran, ini menandakan mereka tahu bahawa mereka perlu fokus dan meninggalkan apa saja yang sedang mereka lakukan ketika itu.
3. Pandai menanggalkan pakaian dan tidak selesa apabila lampin kotor
Apabila anak anda mula tidak selesa dan geli dengan lampin yang kotor, bolehlah anda pakaikan dia dengan seluar/skirt untuk memudahkan dia menanggalkan pakaian sendiri.
4. Faham dengan perkataan yang memberi tanda buang air besar mahupun kecil
Tidak kiralah perkataan apa yang digunakan oleh keluarga anda untuk menggambarkan perbuatan tersebut, asalkan mereka faham dan boleh meluahkan perasaan tersebut.
5. Bangun dari tidur dengan lampin kering
Ini merupakan petanda baik kerana mereka sudah dapat mengawal pundi kencing mereka. Pada masa ini, ibubapa perlu segera mengajar dan mengajak mereka untuk ke tandas.
6. Menunjukkan sifat ingin berdikari
Apabila mereka mahu melakukan perkara tanpa bantuan bererti mereka juga boleh berlatih ke tandas.