Isu SemasaTempatan

Buat Pinjaman Peribadi Untuk Bayar Hutang PTPTN – Patut Atau Tidak?

Sejak kebelakangan ini, membuat pinjaman peribadi demi melangsaikan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat menjadi satu ‘trend’ dalam kalangan penghutang.

Tetapi, adakah ini satu tindakan yang wajar dilakukan?

Menurut Shamsuddin Kadir, perunding kewangan, membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk melunaskan hutang adalah tindakan yang kurang bijak.

Beliau berkata, terdapat peminjam PTPTN yang mungkin tidak faham dengan pengiraan faedah di bank serta kemudahan kredit lain.

Bukan itu sahaja, malah ada juga sesetengah peminjam yang terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya yang turut terjebak dalam melakukan pinjaman peribadi ini.

“Hutang melalui pinjaman peribadi hanya menjadikan kita miskin. Walaupun pembayaran (pinjaman PTPTN) mungkin mengambil masa, perlu diingat kosnya (kadar faedah PTPTN) rendah,” katanya.

Memetik laporan Bernama, Shamsuddin turut menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka membayar semula hutang PTPTN, dan bayaran ansuran juga digalakkan untuk dilakukan tepat pada masa yang telah ditetapkan.

“Selalu kita dengar ibu bapa menyoal anak bila nak beli kereta, rumah namun tidak membangkitkan soal pembayaran hutang PTPTN.

“Bila kita dah ambil duit (PTPTN) itu, liat nak bayar dan orang lain yang nak belajar tidak dapat peluang sewajarnya. Ini patut dielakkan.

“Sepatutnya mereka peka dan turut memantau soal kewangan anak-anak, sama ada mereka (anak) menerima surat pinjaman peribadi atau kad kredit bagi mengelak terjerumus daripada masalah kewangan serius,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Shamsuddin turut menasihati bahawa beberapa perkara yang perlu dielakkan dalam pengurusan kewangan adalah melakukan pinjaman peribadi, penggunaan kad kredit, serta skim ansuran mudah.

Seperti peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri’, perbelanjaan perlu diutamakan mengikut keperluan dan elakkan berbelanja di luar kemampuan hanya kerana terikut-ikut dengan nafsu dan kehendak.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker