AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Indonesia Akan Pastikan Sukan Asia 2018 Bebas Daripada Jerebu

Hampir setiap tahun, Indonesia sering dilanda masalah kebakaran hutan dan jerebu yang teruk, sehingga menjejaskan kesihatan jutaan orang.

Sebagai tuan rumah Sukan Asia 2018 yang akan mula berlangsung tidak lama lagi di Jakarta dan Palembang, kerajaan Indonesia akan bertungkus lumus mengambil sebarang langkah yang ada untuk membendung pembakaran hutan daripada merebak di kepulauan Sumatera.

Memetik laporan Jakarta Post, Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Jeneral Wiranto, baru-baru ini telah mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan untuk membincangkan langkah-langkah awal yang boleh diambil untuk menangani peningkatan ‘hot spot’ atau lokasi titik panas.

“Berdasarkan pengalaman kami….dan dengan penyelarasan kukuh (di antara pihak-pihak berkepentingan) serta prosedur-prosedur pencegahan dan pengawalan, semua kawasan bersedia untuk mengurangkan potensi kebakaran hutan.

“Kita perlu berusaha keras untuk memastikan Sumatera Selatan bebas daripada jerebu. Ramalan cuaca menunjukkan bahawa kemuncak musim panas akan berlaku ketika Sukan Asia berlangsung,” kata beliau.

Dalam pada itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah mengesan sebanyak 169 lokasi titik panas di Kepulauan Sumatera pada Selasa, 14 Ogos 2018, di mana 47 daripada jumlah itu adalah di Sumatera.

Riau pula mencatatkan peningkatan lokasi titik panas daripada 65 kepada 90 pada hari Isnin, manakala Jambi (11), dan wilayah Bangka Belitung (55).

Ketua Pengarah Perubahan Iklim di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, Ruandha Agung Sugadirman berkata, sebuah kumpulan penyelaras khas, termasuk anggota-anggota polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI), ditugaskan untuk melakukan perondaan di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk mengalami kebakaran.

Bukan itu sahaja, malah 16 buah helikopter juga kini berada dalam keadaan bersiap sedia, di mana ia akan dikerahkan ke kawasan-kawasan kebakaran hutan di seluruh Sumatera Selatan dan akan memadam api dengan menggunakan bom air.

Ujar Ruandha, 10 lagi helikopter bom air pula akan dihantar ke Riau.

Difahamkan sejak bulan Mei, kerajaan Indonesia telah menggunakan 51 tan garam untuk memperkasakan lagi operasi pembenihan awan dalam usaha menghasilkan hujan.

“Selagi tanah dan tanah gambut berada dalam keadaan basah, kebakaran tidak akan berlaku,” jelas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button