Isu SemasaTempatan

Sekat Akses Internet Remaja Bawah 17 Tahun Selama Enam Jam – Patut Atau Tidak?

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengikuti jejak langkah Jepun dan Korea Selatan yang melarang akses internet untuk remaja di bawah usia 17 tahun, bermula jam 12 malam sehingga 6 pagi.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang dikaji oleh kerajaan dalam usaha menangani masalah ketagihan terhadap permainan video atas talian dan aplikasi-aplikasi media sosial dalam kalangan remaja di seluruh negara.

“Kerajaan sedang mengkaji sama ada langkah ini boleh dilaksanakan di sini.

“Terdapat juga penyedia-penyedia permainan video yang menyekat pengguna berusia di bawah 17 tahun daripada mengakses permainan mereka selama tempoh satu jam sehingga dua jam.

“Ini adalah antara langkah yang dikaji demi memastikan ketagihan permainan video boleh dikawal,” katanya.

Memetik laporan New Straits Times, beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Lukanisman Awang Sauni (GPS-PBB Sibuti) di Dewan Rakyat mengenai sama ada ketagihan permainan video dan aplikasi media sosial tergolong di bawah kategori masalah mental.

Ujar Dr. Lee, Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan pada tahun lepas mendapati bahawa 34.9% kanak-kanak di Malaysia berusia di antara 13 sehingga 17 tahun cenderung untuk mengalami ketagihan internet.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2017, 80% daripada 24.1 juta pengguna internet di seluruh negara menggunakan kemudahan itu untuk melayari media sosial.

“Tinjauan juga mendapati bahawa pengguna meluangkan masa di atas talian (online) kira-kira empat jam setiap hari,” kata Dr. Lee.

Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengklasifikasikan ketagihan permainan video sebagai masalah kesihatan mental.

“Ketagihan media sosial pula diklasifikasikan sebagai gangguan mental,” jelas beliau.

Oleh yang demikian, adakah anda bersetuju jika remaja di berusia 17 tahun ke bawah dilarang untuk menggunakan internet selama enam jam, bermula jam 12 malam sehingga 6 pagi?

Pada pandangan anda juga, adakah langkah ini berkesan untuk mengurangkan ketagihan internet?

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button