AntarabangsaIsu Semasa

Kes Bunuh Meningkat, Kanada Ketatkan Undang-Undang Senjata Api

Insiden keganasan yang semakin meningkat di Kanada telah menggerakkan kerajaan persekutuan untuk mengetatkan lagi undang-undang senjata api di negara itu.

Walau bagaimanapun, langkah ini dijangka akan mendapat tentangan yang hebat daripada pelbagai pihak memandangkan kira-kira 2 juta daripada 36 juta rakyat Kanada mempunyai lesen untuk memiliki senjata api.

Pada tahun 2016, seramai 223 orang telah dibunuh menggunakan pistol dan menurut agensi statistik tempatan, Statistics Canada, jumlah tersebut adalah peningkatan 23% daripada tahun 2015 dan juga mencatatkan kadar yang tertinggi sejak 2005.

Memetik laporan Reuters, salah satu insiden tembakan terburuk pada tahun ini berlaku pada Jumaat lepas, apabila 4 orang ditembak sehingga mati di sebuah bandar di timur negara itu, Fredericton.

Beberapa minggu sebelum kejadian, seorang penembak telah melepaskan tembakan di Danforth Avenue di Toronto, sekali gus meragut nyawa 2 mangsa dan 13 lagi tercedera.

Di Fredericton, senjata api yang digunakan adalah senapang panjang dan menurut polis, suspek mempunyai permit untuk menggunakan senjata itu.

Di Toronto pula, penembak hanya menggunakan pistol biasa, namun tidak pasti bagaimana dia memperoleh senjata berkenaan.

Difahamkan, kadar pembunuhan akibat senjata api di Kanada adalah 0.61 bagi setiap 100,000 orang, dan ia adalah 10 kali ganda lebih besar daripada kadar kes di United Kingdom.

Namun di Amerika Syarikat, 4 daripada 100,000 penduduk dibunuh menggunakan pistol, di mana setiap tahun mencatatkan kematian 13,000 orang.

Oleh yang demikian, kerajaan Kanada telah memperkenalkan undang-undang baru senjata api pada awal tahun ini.

Peraturan baru ini mewajibkan pihak penjual untuk melakukan simpanan rekod dan mengadakan pemeriksaan latar belakang ke atas pembeli.

Namun menurut Bill Blair, menteri yang bertanggungjawab menangani isu keganasan senjata api, kerajaan juga sedang mempertimbangkan undang-undang yang lebih ketat selepas terdapat gesaan di bandar Toronto untuk mengharamkan senjata api berikutan insiden tembakan Danforth.

“Kami bersedia untuk meneliti sebarang langkah yang akan mengurangkan keganasan senjata api…Ia (Kanada) adalah negara yang luas dan pandangan mengenai senjata api di Toronto adalah berbeza daripada kawasan-kawasan lain,” katanya.

Rang undang-undang (RUU) berhubung peraturan baru ini telah diluluskan di peringkat bacaan kedua dan dijangka akan mendapat kelulusan Parlimen.

Tetapi, sebarang langkah yang diambil oleh kerajaan Liberal mengenai isu ini mungkin akan mendapat tentangan hebat daripada pihak pembangkang Konservatif dan sekutu-sekutu mereka.

Difahamkan, ahli-ahli parlimen Konservatif mencatatkan rekod dan prestasi yang bagus di kawasan-kawasan pedalaman, di mana aktiviti memburu adalah popular di kalangan ramai petani yang memiliki senjata api.

Pembangkang turut menyifatkan tindakan kerajaan untuk mewajibkan penyimpanan rekod dan pemeriksaan latar belakang pembeli sebagai “melayan pemilik senjata api yang sah di sisi undang-undang sebagai penjenayah”.

Dalam pada itu, Persatuan Senjata Api Kebangsaan turut akan berkempen untuk menentang cadangan undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Liberal tersebut.

Naib Presiden Eksekutif persatuan itu, Blair Hagen berkata, kumpulannya mempunyai seramai 150,000 orang anggota, dan mereka kerap berhubung dengan pembangkang Konservatif dan akan menjadikan isu pengawalan senjata api ini sebagai isu besar dalam pilihan raya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button