Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Kerajaan PH Perak Mengiktiraf Peranan Anggota Pembangkang

Kerajaan Negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf peranan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak pembangkang, dan turut mempunyai perancangan untuk mereka.

“Pentadbiran (kerajaan) masa kini komited dan akan terus memberikan peruntukan tahunan bernilai RM50,000 kepada semua 59 pusat perkhidmatan wakil rakyat di dalam negeri.”

“Kami menerima dengan terbuka cadangan bahawa semua ADUN pembangkang diberikan peruntukan yang sama seperti yang diberikan kepada wakil rakyat kerajaan pemerintah,” kata Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Memetik laporan Bernama, beliau menyatakan bahawa cadangan itu akan bergantung kepada keupayaan kewangan semasa, dasar, dan juga hala tuju masa depan.

Tegas Ahmad Faizal, kerajaan juga tidak akan mengamalkan budaya ‘politik dendam’ seperti yang didakwa oleh ADUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Difahamkan, Datuk Mohd Azhar mendakwa bahawa anggota-anggota pembangkang tidak dijemput untuk menghadiri majlis-majlis rasmi yang dianjurkan oleh negeri.

“Unit sekretariat adat dan protokol negeri menghantar jemputan ke majlis-majlis rasmi termasuk Hari Kebangsaan, Maulidur Rasul dan Maal Hijrah.

“Bagi majlis-majlis lain seperti pembukaan institusi-institusi baru oleh Sultan, wakil rakyat daripada kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) akan dijemput.

“Namun, semua majlis di Istana akan ditentukan oleh pihak Istana,” ujarnya.

Tambah Ahmad Faizal, Pakatan Harapan yang membawa agenda baru Malaysia tidak akan membuat sebarang dasar yang memecahbelahkan dalam masyarakat berbilang kaum.

“Rakyat telah meletakkan harapan terhadap pentadbiran PH….keputusan PRU14 bukan pengakhiran perjuangan, tetapi ia adalah langkah pertama untuk menunjukkan bahawa ‘rakyat memilih kerajaan untuk rakyat.’

“Sebagai peringatan kepada kita semua, kita harus memberi perhatian kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa sebarang cubaan untuk mengubah kontrak sosial hanya akan menyebabkan ketidakharmonian,” jelasnya.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang turut berkata, kerajaan negeri pimpinannya akan mengamalkan politik matang dan terbuka untuk menerima sebarang kritikan.

“Beri kami peluang untuk mentadbir negeri dan mengembalikan zaman kegemilangan seperti dahulu.

“Kita perlu mengamalkan budaya politik matang…PH terbuka untuk menerima sebarang kritikan, tetapi pada masa yang sama, pihak sebelah sana (Barisan Nasional) yang masih sedang menyesuaikan diri untuk menjadi pembangkang, perlu menggunakan pendekatan konstruktif,” tegas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button