AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Peru Turun Ke Jalanan Untuk ‘Memerangi Rasuah’

Rasuah adalah barah yang merosakkan negara, dan perjuangan memerangi gejala ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain di serata dunia.

Pada bulan lepas, rakyat di Peru telah melakukan demonstrasi besar-besaran untuk mendesak kerajaan agar melakukan reformasi anti-rasuah demi membersihkan institusi-institusi di negara itu selepas peletakan jawatan ketua badan perundangan.

Di Lima, ibu kota Peru, ribuan penunjuk perasaan telah membawa papan tanda yang bertulis “Tendang mereka semua keluar!” sambil melaungkan “Hentikan Rasuah! Memalukan Negara!”.

Memetik laporan Reuters, protes turut diadakan di bandar-bandar lain di seluruh negara termasuk di bandar Cusco, Arequipa, Tacna, dan juga Iquitos.

“Ia bukan sahaja tentang memecat majistret. Kita memerlukan perubahan, reformasi ke atas seluruh sistem politik dan perundangan,” kata Jorge Rodriguez, pelajar universiti berusia 31 tahun yang terlibat di dalam demonstrasi tersebut.

Presiden Peru, Martin Vizcarra telah memecat Menteri Keadilan, Salvador Heresi, selepas sebuah stesen televisyen mendedahkan klip audio perbualan telefon di antara menteri itu dan seorang hakim yang membincangkan pelbagai ‘rancangan jahat’.

Difahamkan, audio tersebut adalah sebahagian daripada rakaman perbualan telefon para hakim dan individu-individu berkaitan yang lain, yang direkod oleh pihak polis sebagai sebahagian daripada  siasatan jenayah sebelum ia dibocorkan oleh media Peru.

Di dalam rakaman itu, para hakim dilaporkan sedang membincangkan pelbagai ‘rancangan’, termasuk membantu penjenayah-penjenayah yang telah disabitkan bersalah dan juga menjamin pekerjaan untuk rakan-rakan serta kroni mereka.

Walau bagaimanapun, semua suspek tidak mengaku bersalah dan nafi melakukan sebarang bentuk salah laku.

Sementara itu, Ketua Mahkamah Tinggi dan Presiden Badan Kehakiman, Duberli Rodriguez, telah melepaskan jawatan-jawatannya walaupun beliau tidak dituduh melakukan sebarang kesalahan.

Berdasarkan surat peletakan jawatannya, Rodriguez menyatakan bahawa beliau bertindak sedemikian kerana “krisis institusi yang sedah dilalui oleh badan kehakiman itu.”

Bekas Presiden Peru, Pedro Pablo Kuczynski, turut meletak jawatan kira-kira 5 bulan lalu berikutan skandal rasua yang membabitkan syarikat perniagaan Brazil, Odebrecht.

Dalam pada itu, krisis kehakiman yang sedang berlaku ini juga dilihat sebagai ‘ujian politik awal’ bagi presiden Vizcarra, yang berikrar untuk memerangi rasuah secara habis-habisan apabila beliau mengambil alih kedudukan Kuczynski pada bulan Mac.

Vizcarra berjanji untuk melakukan pembaharuan besar-besaran di dalam sistem perundangan Peru dan akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama Kontres bagi membuang semua anggota Majlis Majistret Kebangsaan.

Majlis yang terdiri daripada 7 orang anggota itu bertanggungjawab untuk memilih dan memantau para hakim serta pendakwa raya.

“Protes pada hari ini di Peru mendapat sokongan penuh daripada saya…Kita boleh lihat kemarahan yang meluas, tetapi ia juga adalah simbol harapan kerana sebuah masyarakat yang ‘marah’ adalah masyarakat yang boleh berubah,” katanya dalam satu majlis pada bulan lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button