BudayaGaya Hidup

Benarkah Anjing Akan Membantu Pemilik Mereka Yang Kesusahan?

Kebanyakan pemilik anjing mempunyai cerita mereka sendiri tentang bagaimana haiwan peliharaan itu memahami emosi mereka. Dan kini kajian terbaru mendapati bahawa anjing bukan sahaja menawarkan bantuan dan keselesaan kepada pemiliknya, tetapi juga akan bergegas membantu mereka.

Dijalankan oleh penyelidik Amerika Syarikat, idea untuk kajian ini timbul daripada pengarang bersama Julia Meyers-Manor, bekas ahli fakulti di Macalester College dan kini di Kolej Ripon ketika bermain-main dengan anaknya yang menimbusnya di bawah timbunan bantal.

“Suami saya tidak datang menyelamatkan saya tetapi dalam beberapa saat, anjing saya membantu mengeluarkan saya dari timbunan itu. Dari situ saya tahu bahawa saya perlu melakukan kajian untuk mengujinya secara lebih formal,” kata Meyers-Manor.

Untuk mengkaji secara lebih dalam, pasukan kajian itu merekrut 34 ekor anjing dari pelbagai baka dan saiz serta pemiliknya.

Baka yang dipilih termasuk anjing pendamping klasik seperti Golden Retrievers dan Labrador serta anjing kecil seperti Shih Tzu dan Pug dan beberapa ekor anjing baka campuran.

Pemilik anjing diminta duduk di belakang pintu lutsinar yang ditutup dengan magnet, di mana anjing-anjing itu dapat melihat dan mendengar suara mereka.

Mereka kemudiannya diminta untuk mendengungkan lagu Twinkle, Twinkle Little Star atau mula menangis, supaya penyelidik dapat melihat jika anjing akan membuka pintu lebih kerap apabila pemiliknya tertekan dan memerlukan keselesaan.

Penyelidik mendapati bahawa anjing membuka pintu tiga kali lebih cepat apabila mendengar pemiliknya menangis berbanding daripada anjing yang mendengar pemiliknya bersenandung.

Para penyelidik juga mengukur tahap tekanan anjing, mendapati bahawa anjing yang membuka pintu untuk membantu pemiliknya sebenarnya kurang tekanan, menunjukkan mereka kecewa tetapi tidak terlalu kecewa untuk mengambil tindakan.

Sebaliknya, anjing yang tidak membuka pintu menandakan ia sedang mengalami tekanan yang tinggi sehingga menyebabkan mereka tidak mengambil tindakan. Anjing tersebut bukan tidak peduli, tetapi terlalu kecewa untuk berbuat apa-apa.

“Kami mendapati anjing bukan sahaja merasakan apa yang dirasakan oleh pemiliknya, jika anjing tahu cara untuk membantu mereka, mereka akan melalui halangan untuk memberikan bantuan kepada mereka,” kata penulis utama Emily Sanford.

Walaupun kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa anjing sangat responsif terhadap tangisan manusia, ini adalah kajian pertama yang menunjukkan bahawa anjing boleh mengesan kecemasan emosi dan akan bergegas melakukan sesuatu mengenainya.

“Anjing telah berada di sisi manusia selama puluhan ribu tahun dan mereka telah belajar untuk membaca isyarat-isyarat sosial kita. Pemilik anjing tahu bahawa anjing peliharaan mereka itu boleh merasakan apa yang dirasai oleh mereka.

“Penemuan kami mengukuhkan idea itu sekaligus menunjukkan bahawa anjing akan bertindak jika pemilik mereka mengalami kesusahan,” kata Sanford lagi.

Hasil kajian ini boleh ditemui dalam talian menerusi jurnal Learning And Behavior. – Star2

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker