Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Usia Layak Mengundi – 18 Atau 21 Tahun?

Di bawah undang-undang negara, rakyat Malaysia yang telah memasuki usia 18 tahun sudah dianggap sebagai golongan dewasa.

Status ini sekali gus membolehkan mereka melakukan pelbagai perkara tanpa memerlukan persetujuan ibu bapa/penjaga, seperti mengambil lesen memandu, berkahwin, membuka perniagaan, menandatangani dokumen, membeli hartanah dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, malah setelah berusia 18 tahun, seseorang individu itu juga sudah layak dikenakan hukuman-hukuman yang diperuntukkan bagi orang dewasa sekiranya disabitkan bersalah melakukan jenayah.

Walau bagaimanapun, masih terdapat satu perkara yang tidak boleh dilakukan walaupun sudah menjadi orang dewasa, iaitu mengundi di pilihan raya.

Seperti yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan, hanya rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas sahaja yang boleh mengundi untuk menentukan siapa akan menjadi wakil rakyat di Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berikutan, isu mengenai usia kelayakan mengundi ini menjadi topik hangat yang sering diperdebatkan.

Persoalan-persoalan yang kerap ditanya oleh orang ramai termasuk:

1. Usia 18 tahun sudah dewasa, tetapi kenapa tidak boleh mengundi?

2. Perbezaan umur 3 tahun sahaja, namun kenapa 18 tahun masih dianggap ‘tak matang’?

3. Apa bukti yang menunjukkan 21 tahun adalah usia ‘matang’ untuk mengundi?

4. Negara-negara luar sudah mengamalkan peraturan ini, mengapa kita belum lagi? dan sebagainya…

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk mengadakan perbincangan serius mengenai perkara ini untuk benar-benar menentukan usia kelayakan mengundi bagi seseorang individu.

Pihak-pihak yang berkenaan perlu menyatakan secara jelas sebab-sebab untuk mengekalkan usia mengundi pada 21 tahun atau untuk mengurangkannya kepada 18 tahun.

Pastikan perdebatan/perbincangan diisi dengan fakta kukuh, disertakan dengan kelebihan dan kekurangan untuk mengekalkan atau mengubah usia mengundi.

Maka dengan ini, semua orang akan mempunyai gambaran jelas serta asas yang lebih kukuh sama ada untuk menyokong atau membantah cadangan berkenaan.

Dalam pada itu, mengurangkan usia mengundi kepada 18 tahun turut menjadi salah satu janji Pakatan Harapan (PH) di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka.

Namun memandangkan PH hanya meraih kemenangan majoriti mudah di dalam Parlimen, mereka masih memerlukan sokongan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk mendapatkan 2/3 undi bagi meluluskan undang-undang baru ini.

Jadi, apa pandangan anda? Adakah anda bersetuju jika usia layak mengundi dikurangkan kepada 18 tahun? Atau anda mahu ia kekal pada umur 21 tahun?

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker