Tempatan

UiTM Hantar Nano-Satelit Ke Orbit

Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mencipta sejarah apabila menjadi universiti tempatan pertama yang melancarkan nano-satelit sulungnya ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Satelit UiTMSAT-1 dihantar ke orbit pukul 5.45 petang waktu tempatan hari ini dan siaran langsung pelancaran dari Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (Jaxa) disaksikan oleh Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Siti Hamisah Tapsir.

Bercakap kepada pihak media, Siti Hamisah berkata pelancaran satelit itu merupakan titik permulaan dalam memperkasa penyelidikan berkaitan angkasa di negara ini.

“Projek satelit oleh UiTM adalah sesuatu yang harus kita banggakan dan universiti-universiti tempatan lain digalakkan mengikuti jejak UiTM untuk meningkatkan lagi bidang pengajian ruang angkasa.

“Projek sedemikian tidak boleh semata-mata bergantung kepada kerajaan dan ia memerlukan bantuan dan sokongan dari industri pendidikan,” katanya.

UiTMSAT-1 dibawa ke ISS di atas kapal angkasa Space X Falcon 9 yang dilancarkan dari Cape Canaveral Air Force, Florida, di Amerika Syarikat pada 29 Jun.

Nano-satelit berbentuk kiub berukuran 10cm dibina oleh dua pelajar UiTM, Syazana Basyirah Mohamad Zaki dan Muhammad Hasif Azami, yang kini sedang belajar di Jepun, berikutan usaha kerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (KyuTech) di bawah “Global Joint Program Multi-Nation “.

Bhutan dan Filipina juga membangun nano-satelit masing-masing di bawah program ini.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker