AntarabangsaIsu Semasa

Sertai Militan IS, 5 Orang Warga Australia Dilucutkan Kerakyatan

Baru-baru ini, kerajaan Australia telah melucutkan kerakyatan lima orang warganegara itu yang menyertai dan berjuang bersama kumpulan militan IS di Syria dan Iraq.

Kerajaan berkata, Australia berada dalam “keadaan yang lebih baik” tanpa individu-individu sedemikian.

Memetik laporan AFP, kelima-lima orang suspek itu telah mengikut seorang pejuang IS warga tempatan yang terkenal dengan sifat kejamnya, iaitu Khaled Sharrouf.

Khaled pernah menggemparkan dunia apabila dia memuat naik sebuah gambar di Twitter yang menunjukkan anak lelakinya sedang memegang kepala seorang tentera pro-kerajaan Syria yang telah dipotong.

Anggota pengganas itu juga sebelum ini menjadi rakyat Australia yang pertama untuk dilucutkan kerakyatan kerana pembabitannya dalam kumpulan pengganas, seperti yang tertakluk di bawah undang-undang anti-keganasan negara berkenaan.

“Saya mengesahkan bahawa lima lagi individu telah dilucutkan kerakyatan Australia kerana penglibatan mereka dengan militan IS.

“Secara asasnya, (memegang) kerakyatan memerlukan kesetiaan kepada negara ini…(tetapi) tindakan lima individu ini adalah bertentangan dengan kepentingan Australia apabila mereka terbabit dalam keganasana dan memilih untuk meninggalkan masyarkat Australia,” kata Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton dalam satu kenyataan.

Difahamkan, kelima-lima individu tersebut berusia dalam lingkungan 20an dan 30an, namun Dutton tidak memberi butiran terperinci mengenai identiti mereka.

Pada masa yang sama, beliau turut menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan melucutkan kerakyatan mereka.

“Australia menjadi tempat yang lebih selamat tanpa kepulangan mereka,” ujarnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan amat bimbang dengan isu warganegara tempatan yang pulang semula ke tanah air selepas berjuang dengan militan IS di luar negara.

Australia juga telah meluluskan pelbagai undang-undang keselamatan negara yang ketat dalam usaha membanteras gejala keganasan dengan lebih berkasan.

Undang-undang baru ini termasuk membatalkan kerakyatan mana-mana individu yang mempunyai pasport dari negara lain.

Khaled juga adalah seorang warga Lebanon, selain daripada menjadi rakyat Australia.

Dia meninggalkan Australia untuk ke Syria pada tahun 2013 bersama keluarganya, namun isterinya, Tara Nettleton telah meninggal dunia dan Khaled juga dipercayai terkorban dalam sebuah serangan dron di Iraq pada tahun 2015.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker