Isu SemasaPolitikTempatan

“Saya Tidak Mahu Dewan Ini Dijadikan Seperti Sarkas” – Sultan Johor

“Saya tidak mahu Dewan ini dijadikan seperti sarkas.”

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi amaran tersebut kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, pada Khamis, 9 Ogos 2018.

Baginda bertitah, semua ADUN perlu menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas di dewan serta bersikap terbuka untuk mendengar pandangan orang lain.

Memetik laporan media tempatan, baginda juga mengingatkan ahli-ahli dewan supaya tidak terus menolak cadangan-cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan diri sendiri.

Sultan Ibrahim turut berharap Speaker DUN dapat menjalankan tugas dengan cekap dan tegas, serta mengambil tindakan ke atas mana-mana ADUN yang melanggar peraturan persidangan.

“Saya harap Speaker DUN akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.

“Sekiranya ada Ahli Dewan yang bertindak melampaui batas dan melanggar peraturan yang sudah ditetapkan, maka arahkan mereka supaya keluar dari dewan ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga diingatkan untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang cekap dan tidak berbelanja melebihi hasil pendapatan yang diterima.

Bukan itu sahaja, malah Sultan Ibrahim turut bertitah supaya kerajaan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai ‘surplus’ atau lebih hasil pendapatan.

“Perkara utama yang suka saya tekankan adalah tentang pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan berhemah, suka saya ingatkan supaya kerajaan mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi hasil pendapatan yang diterima.

“Kerajaan negeri juga perlu berusaha untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan beban kewangan negeri,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu mengekalkan prestasi kemajuan ekonomi negeri yang tinggi dengan menggalakkan pelaburan berterusan dari dalam dan luar negara.

Dari aspek pentadbiran pula, Sultan Ibrahim menekankan agar semua anggota pentadbiran kerajaan sentiasa menjaga imej yang baik serta memberikan perkhidmatan yang cemerlang, penuh dengan dedikasi dan integriti.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker