Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Patutkah Penalti Dikenakan Ke Atas Ahli Parlimen Yang Biadap?

Sejak kebelakangan ini, persidangan di Dewan Rakyat menyaksikan beberapa insiden, di mana terdapat segelintir Ahli Parlimen (MP) yang mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak sopan.

Sebagai contoh pada hari Isnin, MP Jelutong dari Pakatan Harapan (PH), RSN Rayer menggunakan ungkapan kasar “kepala bapak” ketika berucap di dewan yang mulia itu, dan ia didakwa ditujukan kepada barisan pimpinan Barisan Nasional (BN) kerana gagal membela kebajikan anggota polis.

Tindakan itu ternyata mencetuskan kemarahan dan ketegangan di Parlimen, dan sebagai tindak balas, MP Lipis (BN), Datuk Abdul Rahman Mohamad, turut mengeluarkan perkataan kesat “p*****k”.

Pada keesokan harinya pula, keadaan di Parlimen sekali lagi menjadi “hangat” apabila MP Kinabatangan (BN), Datuk Seri bung Mokhtar melaungkan “F*** you” kepada MP Puncak Borneo, Willie Mongin (PH) ketika perdebatan mengenai isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Tidak dinafikan bahawa akan terdapat pelbagai bentuk provokasi di dalam Dewan Rakyat, tetapi setiap MP perlu bersikap profesional dan tidak boleh terlalu ‘hanyut’ dengan perasaan marah, kerana persidangan Parlimen adalah platform untuk membincangkan serta menyelesaikan masalah rakyat dan negara di peringkat yang tertinggi.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, bekas senator dan Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie menegaskan bahawa semua Ahli Parlimen, tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, perlu menghormati Dewan Rakyat.

Memetik laporan The Sun Daily, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk mengenakan penalti ke atas mana-mana MP yang menggunakan bahasa kesat ketika Parlimen sedang bersidang.

“Tidak kira siapa mereka, mereka perlu menghormati orang lain dan mematuhi semua keputusan yang diambil oleh Speaker.

“Saya akan menyokong sepenuhnya sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang gagal mengikut peraturan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker turut berpandangan bahawa perkataan kesat tidak sepatutnya digunakan dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Tidak kira anda daripada parti mana, bahasa-bahasa sedemikian tidak patut digunakan di Parlimen dan dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Setiap MP perlu menghormati undang-undang dan peraturan di Parlimen dan melaksanakan tugas mereka dengan profesional.

“Sebagai ahli politik, kita tidak boleh lupa bahawa kita mewakili rakyat, dan seseorang MP berada di dalam Parlimen kerana rakyat memberikan penghormatan itu apabila mereka mengundi (ketika pilihan raya),” ujar beliau.

Tambah Ti lagi, apa-apa sahaja perbezaan peribadi di antara ahli politik perlu ditangani secara profesional dan jangan sesekali membenarkan perasaan menguasai diri sehingga menyebabkan kehilangan ‘harga diri’ apabila mereka mula menggunakan kata-kata kesat.

 

-Imej terencana sekadar hiasan-

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker