Isu SemasaMalaysiaTempatan

Dasar Ekonomi Baru (DEB) Berjaya Mengurangkan Kemiskinan

Bulan lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan bahawa kerajaan akan melakukan semakan semula ke atas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Walau bagaimanapun tegas beliau, penelitian semula yang akan dilaksanakan ini masih menjamin hak Bumiputera, dan turut akan berlaku adil terhadap keperluan semua kaum lain di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Azmin berkata, apa sahaja dasar yang dilakukan oleh kerajaan adalah berdasarkan keperluan secara menyeluruh, bukan mengikut kaum.

Ini bermakna, pengagihan ekonomi dilakukan secara adil dan saksama kepada rakyat Malaysia, dan pada masa yang sama tidak mengetepikan hak dan keperluan Bumiputera.

Dalam pada itu, pakar-pakar ekonomi menyeru supaya kerajaan mengekalkan tindakan afirmatif dalam bidang pendidikan walaupun penelitian semula akan dilakukan ke atas DEB.

Tindakan afirmatif merujuk kepada dasar-dasar yang dikhususkan kepada kumpulan atau golongan yang bukan dominan dalam sosio-ekonomi demi meningkatkan pencapaian mereka dalam pendidikan serta pekerjaan.

Menurut Profesor Dr. Edmund Terence Gomez daripada Fakulti Ekonomi & Pentadbiran University Malaysa (UM), pendekatan DEB memberi akses pendidikan yang lebih baik kepada kanak-kanak Bumiputera telah mencatatkan kejayaan yang cemerlang dalam mengurangkan kemiskinan dan mewujudkan golongan kelas pertengahan yang dinamik.

Kejayaan ini dicapai menerusi pelbagai langkah kerajaan, termasuk penubuhan sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ternyata telah memberi manfaat kepada kanak-kanak Bumiputera yang datang dari keluarga miskin.

Memetik laporan The Star, Dr. Gomez berkata, para pelajar yang cemerlang juga turut diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

“Tindakan afirmatif dalam pendidikan berkesan. Oleh itu, ia perlu diluaskan lagi untuk menyasarkan semua golongan miskin tanpa mengira latar belakang etnik.

“Pendekatan ini juga memanfaatkan golongan miskin dalam kalangan Bumiputera,” ujar beliau.

Walaupun tindakan afirmatif terbukti berkesan dalam bidang pendidikan, namun Dr. Gomez berkata, ia sebaliknya mencatatkan kegagalan apabila membantu ahli-ahli perniagaan.

Beliau menyedari bahawa jumlah wakil golongan Bumiputera di dalam 50 syarikat awam utama di Malaysia masih sedikit, walaupun selepas 47 tahun kewujudan DEB.

“Masih tidak ramai Bumiputera yang menjadi pemegang saham besar di dalam syarikat-syarikat terkemuka. Ini menunjukkan bahawa kita perlu membuat penelitian semula untuk mengelak daripada melakukan kesalahan-kesalahan lama,” tegasnya.

Sementara itu, berikut adalah beberapa fakta ringkas mengenai dasar-dasar ekonomi yang diwujudkan di Malaysia:

1. DASAR EKONOMI BARU (DEB) —- 1971 – 1990

– Dilancarkan pada tahun 1971 oleh kerajaan di bawah pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ke-2 Malaysia

– Meliputi Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima

– Mempunyai strategi serampang dua mata untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan serta melakukan penyusunan semula masyarakat untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi di antara kaum

2. DASAR PEMBANGUNAN NEGARA (DPN) —- 1990 – 2000

– Mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu demi memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik.

– Melaksanakan pendekatan pembangunan yang seimbang sambil mengekalkan strategi serampang dua mata DEB

– Menambah empat elemen baru untuk mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat dan menghapuskan kemiskinan dengan lebih pantas

– Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah berkembang daripada RM79.1 bilion pada tahun 1990 kepada RM209.3 bilion pada tahun 2000.

– Kadar kemiskinan menurun daripada 17.1% pada tahun 1990 kepada 7.5% pada tahun 1999

3. DASAR WAWASAN NEGARA (DWN) —- 2001 – 2010

– Menentukan arah pembangunan negara dalam dekad pertama pada abad ke-21

– Mencapai perpaduan nasional sambil mengekalkan objektif membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan juga pembangunan yang seimbang.

– Membina bangsa yang berdaya tahan dengan memupuk perpaduan, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik, membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang yang tersemat dengan nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi

4. MODEL EKONOMI BARU (MEB) —- 2010 -2020

– Menjadi pemacu Malaysia dalam usaha menuju ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020

– Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing

– Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing

– Memperkukuhkan sektor awam

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker