Isu SemasaMalaysiaTempatan

Sindiket Jenayah Akan “Gelakkan” Pihak Berkuasa Tanpa Sosma

Pada bulan Jun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk melakukan semakan semula ke atas undang-undang keselamatan sedia ada yang mungkin bercanggah dengan hak asasi manusia.

Menurut Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jawatan kuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Antara undang-undang yang akan dinilai semula adalah:

1. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)

2. Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA)

3. Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)

Baru-baru ini juga, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, menyifatkan SOSMA sebagai satu undang-undang yang baik dan diperlukan, namun undang-undang itu perlu menjalani semakan kerana ia pernah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, SOSMA akan membolehkan pihak berkuasa untuk membanteras jenayah-jenayah serius seperti jenayah terancang dan keganasan.

Bukan itu sahaja, malah pihak berkuasa juga diberi kuasa untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah.

“Namun, undang-undang ini telah disalahgunakan untuk tujuan politik. Jadi, Kementerian telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyemaknya semula beserta undang-undang lain, seperti POTA dan POCA.

“Sekiranya undang-undang ini tiada, saya pasti sindiket-sindiket jenayah terancang akan ‘menggelakkan’ pihak berkuasa,” katanya,┬áselepas merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Imigresen ASEAN (DGICM) Ke-22, pada Selasa.

Memetik laporan media-media tempatan, Aziz berkata bahawa terdapat pelbagai kes jenayah berat khususnya yang membabitkan kegiatan pengganas yang memerlukan akta tersebut dikekalkan.

Walau bagaimanapun, perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan undang-undang berkenaan tidak akan disalahgunakan untuk sebarang tujuan lain.

Dalam pada itu, ramai bekas pegawai polis tertinggi, termasuk mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Zinin, turut menyeru agar SOSMA tidak dimansuhkan.

“Kami akan mengambil kira pandangan-pandangan daripada pelbagai pihak, khususnya polis yang berada di barisan hadapan (dalam melindungi keamanan negara).

“Kami akan memuktamadkannya (keputusan) dan akan memaklumkan kepada rakyat apabila tiba masanya,” ujar beliau.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker