AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Mengapa Ramai Belia China Tidak Tahu Kewujudan Google, Facebook, Dan Twitter?

Ramai belia di China dilaporkan hanya tahu sedikit, atau tidak tahu langsung tentang kewujudan enjin carian serta laman media sosial Barat seperti Google, Facebook, Twitter, dan sebagainya, sementara seluruh dunia aktif menggunakannya.

Bagaimana senario ini boleh berlaku?

Difahamkan sejak beberapa dekad yang lalu, China telah menyekat Google, Facebook, Twitter, Instagram, dan laman-laman sesawang asing yang lain, termasuk portal berita Amerika Syarikat (AS), The New York Times dan juga Wikipedia China.

Oleh yang demikian, kerajaan negara itu telah membangunkan pelbagai jenis laman sesawang dan aplikasi buatan tempatan yang mempunyai ciri serta fungsi yang sama seperti yang dibina oleh Barat.

Walau bagaimanapun, segala kandungan di dalam laman-laman berkenaan turut dikawal ketat dan ditapis oleh kerajaan China.

Namun pada masa yang sama, ramai belia di negara pimpinan Komunis itu dilihat tidak berminat untuk mengetahui kandungan-kandungan yang telah ditapis/disekat di atas talian (online).

Ini sekali gus membolehkan Beijing untuk mewujudkan sistem nilai alternatif yang bersaing hebat dengan demokrasi liberal kuasa Barat.

Bukan itu sahaja, malah China juga berjaya memperluaskan model Internet mereka yang ditapis ini kepada beberapa negara lain termasuk Vietnam, Tanzania, dan Ethiopia.

Pada tahun 2000, Presiden AS pada waktu itu, Bill Clinton berkata, perkembangan Internet akan mengubah China menjadi sebuah negara yang lebih terbuka seperti Amerika.

Tetapi, apa yang sedang berlaku sekarang ternyata menunjukkan keadaan yang berbeza.

Memetik laporan The New York Times, parti pemerintah China, Parti Komunis di bawah pimpinan Presiden Xi Jinping, secara jelas menunjukkan bahawa ia akan mengetatkan lagi pengawalan ideologi di sana.

Pada separuh pertama tahun ini, pengawal selia internet tempatan, iaitu Pentadbiran Ruang Siber China telah menutup atau menarik lesen lebih daripada 3,000 laman sesawang.

Namun begitu, gergasi-gergasi Internet AS masih tidak mengalah dan sedang berusaha bertungkus lumus untuk memasuki pasaran China yang amat luas.

Google dikatakan sedang membina enjin carian bertapis khas untuk pengguna telefon pintar di China, sebagai salah satu usaha memenangi hati kerajaan Beijing.

Pada bulan lepas juga, Facebook telah diberi kebenaran untuk membuka anak syarikat di wilayah timur Zhejiang, namun kebenaran itu kemudian ditarik semula oleh China.

Tetapi sekiranya aplikasi dan laman sesawang Barat berjaya memasuki China sekali pun, ia mungkin tidak akan mampu menarik minat golongan muda di sana.

Berdasarkan sebuah kajian yang dijalankan oleh dua orang ahli ekonomi dari Peking University dan Stanford University, pelajar-pelajar kolej China tidak menunjukkan minat untuk mendapat akses terhadap kandungan atau maklumat yang tidak ditapis dan sensitif dari aspek politik.

Di dalam kajian itu, hampir 1,000 orang pelajar di dua universiti di Beijing telah diberi peralatan percuma untuk memintas tapisan Internet, namun hampir separuh daripada jumlah itu tidak menggunakannya.

Bagi para pelajar yang menggunakan peralatan itu pula, tiada seorang pun daripada mereka yang meluangkan masa untuk melayari portal-portal berita asing yang disekat.

“Kajian kami mendapati bahawa penapisan (Internet) di China adalah berkesan bukan hanya kerana kerajaan menyukarkan orang ramai untuk mendapat akses terhadap maklumat sensitif, tetapi ia juga kerana rakyat tidak membuat sebarang permintaan untuk mengetahui maklumat-maklumat berkenaan,” kata penyelidik.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker