Isu SemasaPolitikTempatan

Siapa Yang Akan Lepaskan Kerusi Parlimen Untuk Anwar?

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memenangi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa bertanding memandangkan tiada individu lain yang tampil untuk mencabar beliau.

Ini membuktikan bahawa Anwar menerima sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi daripada anggota-anggota parti yang juga mahukan beliau untuk memainkan peranan lebih besar di dalam blok Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Anwar juga dikatakan akan menggantikan Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin negara pada dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

Berikutan kemenangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail iaitu isteri kepada Anwar, menyatakan bahawa presiden baru PKR itu akan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen.

Tetapi memandangkan semua kerusi parlimen telah pun diisi, siapakah yang sanggup melepaskan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada Anwar?

Memetik laporan media tempatan, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau tidak akan berundur daripada sebarang jawatan untuk suaminya.

“Memang tidak (letak jawatan). InsyaAllah (kekal semua jawatan),” tegasnya.

Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah yang memegang jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menegaskan bahawa beliau tidak akan melepaskan kerusinya demi bapanya.

Sementara itu, terdapat juga spekulasi yang mendakwa bahawa Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran akan melepaskan kedudukannya bagi memberi laluan kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

Namun, Prabakaran, yang juga ahli parlimen termuda dalam sejarah negara berkata, perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.

“Itu hanya sekadar ura-ura, setakat ini tiada sebarang perbincangan mengenai saya perlu mengosongkan kerusi Parlimen Batu untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hal ini bukan bermaksud saya tidak akan berundur,namun tiada perbincangan ke arah itu,” katanya.

Tambah Prabakaran, beliau juga mempunyai pelbagai rancangan untuk penduduk Batu dan belia di peringkat kebangsaan.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, beliau bersedia mengosongkan kerusinya untuk Anwar sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

Namun menurut William, beliau sehingga kini masih belum dimaklumkan atau berbincang mengenai perkara ini dengan sesiapa lagi.

Ujarnya beliau, selain daripada dirinya sendiri, 51 Ahli Parlimen PKR yang lain juga mungkin sanggup melepaskan kerusi masing-masing untuk Anwar.

“Saya tak tahu bagaimana khabar angin ini boleh tersebar, tetapi kalau diminta saya sanggup. Buat masa ini belum ada sebarang perbincangan.

“Ya ya (sanggup), bukan saja saya, 51 ahli Parlimen PKR lain kalau diminta, saya percaya tidak ada siapa akan menolak untuk bagi laluan kepada Anwar,” katanya.

Tetapi difahamkan, mana-mana Ahli Parlimen yang melepaskan jawatan sebelum tamat penggal akan dikenakan penalti, di mana dia akan dilarang untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun seterusnya.

Jadi, adakah William benar-benar akan melepaskan kedudukannya demi bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8?

Kita tunggu dan lihat.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker