AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Legenda Kriket, Imran Khan Bakal Perdana Menteri Baru Pakistan

Legenda kriket Pakistan, Imran Khan telah meraih kemenangan dalam pilihan raya umum yang berlangsung pada 25 Julai bulan lepas, sekali gus membolehkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri negara itu.

Parlimen Pakistan mempunyai 342 kerusi secara keseluruhan, namun 272 daripada jumlah itu dipertandingkan menerusi undian di dalam pilihan raya.

Sementara itu, terdapat tambahan 70 kerusi, di mana 60 dikhaskan untuk wanita manakala 10 lagi adalah untuk golongan agama minoriti (bukan Islam.

Memetik laporan CNN, parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) memenangi 116 daripada 272 kerusi yang dipertandingkan, namun masih tidak boleh menubuhkan kerajaan sendiri kerana kekurangan majoriti.

Difahamkan, sesebuah parti perlu mendominasi sekurang-kurangnya 137 kerusi di dalam Parlimen untuk mendapatkan majoriti mudah.

Walaupun menjadi parti yang terbesar di Parlimen, PTI masih perlu bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Parti kedua yang mendapat jumlah kerusi terbanyak adalah bekas parti pemerintah, Pakistan Muslim League (PML), 64 kerusi, diikuti Pakistan People’s Party (PPP) pada tempat ketiga dengan 43 kerusi.

PTI MERAIH SOKONGAN CUKUP UNTUK MEMBENTUK KERAJAAN

Setelah mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai parti lain serta ahli-ahli politik bebas, Khan pada Jumaat lepas menyatakan bahawa partinya sudah mendapat sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Fawad Chaudhry, jurucakap parti PTI berkata, pihaknya yakin bahawa ia mempunyai sokongan 180 ahli parlimen yang terdiri daripada kalangan parti gabungan dan pemegang kerusi-kerusi khas.

Ujarnya, kerajaan gabungan ini termasuk Muttahida Qaumi Movement (MQM), iaitu parti yang mendominasi politik di Karachi selama berdekad-dekad, dan juga Grand Democratic Alliance (GDA), sebuah pakatan baru di wilayah Sindh.

“InsyaAllah, kita akan memperoleh lebih daripada majoriti mutlak,” tambahnya.

Khan dijangka akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sebelum 14 Ogos, iaitu Hari Kemerdekaan Pakistan.

KHAN AKAN PERANGI RASUAH YANG MEROSAKKAN NEGARA SEPERTI ‘BARAH’

Bakal perdana menteri Pakistan itu telah berikrar untuk memerangi gejala rasuah yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘barah yang merosakkan negara’ sejak beliau mula berkempen lagi.

Khan berkata, beliau juga akan menamatkan budaya pemerintahan salah serta rasuah yang telah diamalkan oleh keluarga dua bekas perdana menteri, Nawaz Sharif dan Benazir Bhutto selama berdekad-dekad.

Memandangkan Pakistan adalah sebuah negara yang mempunyai obsesi dan minat yang terlalu tinggi terhadap sukan kriket, Khan menggunakan popularitinya dengan bijak untuk memasuki arena politik dan memenangi hati rakyat.

PTI, yang turut dikenali sebagai Parti Keadilan, telah ditubuhkan pada tahun 1996.

Kempen perangi rasuah Khan juga dilihat telah mendapat sokongan luar biasa daripada golongan muda dan individu-individu kelas pertengahan di negara itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker