AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

“Saya Bersumpah Ke Atas Nyawa Saya” – Hun Sen

Kemboja telah mengadakan pilihan raya umum pada 29 Julai lalu, namun ramai pihak, termasuk kumpulan hak asasi manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kuasa-kuasa barat menyifatkannya sebagai pemilihan yang “tidak adil dan bebas”.

Parti pemerintah, Cammbodian People’s Party (CPP) telah meraih kemenangan besar dan mendakwa bahawa ia telah mendominasi kesemua 125 kerusi di dalam parlimen.

Pemimpin-pemimpin pembangkang pula menggesa orang ramai untuk memboikot pilihan raya berkenaan selepas pembangkang utama, Cambodia National Rescue Party (CNRP) telah dibubarkan secara paksa pada tahun lepas kerana ketuanya didakwa melakukan pembelotan terhadap negara.

Memetik laporan Straits Times, kadar peratusan keluar mengundi mencatatkan angka yang amat memberangsangkan, iaitu 82%.

Walau bagaimanapun, terdapat pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa kadar peratusan pengundi, serta proses dan jumlah undian telah dimanipulasi oleh kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Hun Sen.

Hun Sen, yang telah memerintah Kemboja selama 33 tahun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan mencabar pemimpin-pemimpin pembangkang untuk bersamanya bersumpah atas nyawa masing-masing ke atas dakwaan berkenaan.

“Saya bersumpah (terhadap diri saya) dalam semua bentuk….untuk mati dalam kemalangan jalan raya, pesawat terhempas, renjatan elektrik, panahan petir, apa-apa sahaja yang membawa kepada kematian.

“Anda (pembangkang) berani atau tidak untuk bersumpah?

“Mereka yang telah mendakwa angka (peratusan keluar mengundi) telah dimanipulasi, tolong bersumpah. Bersumpah untuk mati bersama-sama,” tegasnya.

Memetik laporan AFP, Hunsen pada hari ini berkata, beliau akan pergi ke PBB selepas barisan Kabinet barunya telah dibentuk nanti untuk menunjukkan bahawa Kemboja tidak memerlukan sebarang ‘pengesahan’ daripada pihak asing.

“Saya akan pergi ke PBB untuk menyampaikan ucapan supaya anda boleh melihat bahawa sebagai sebuah negara yang berdaulat, yang mengadakan pilihan raya sendiri, kami (Kemboja) tidak memerlukan kelulusan/pengesahan daripada sesiapa pun,” katanya.

Ujar Hun Sen, Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) akan mengumumkan keputusan rasmi pada 15 Ogos tidak lama lagi dan sekiranya tiada aduan atau bantahan, kerajaan baru akan dibentuk pada bulan ini juga.

Difahamkan, pilihan raya baru-baru ini menyaksikan 6.9 juta undian, namun hampir 600,000 merupakan undi rosak yang dilakukan oleh sesetengah pihak untuk membantah pemilihan yang disifatkan oleh pembangkang sebagai “palsu”.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker