AntarabangsaAsiaIsu SemasaPolitik

Legasi Politik Suharto Akan ‘Hidup’ Semula?

Bagi sesetengah rakyat Indonesia, bekas presiden, Suharto masih dianggap sebagai “Bapa Pembangunan” kerana telah melakukan pelbagai pembaharuan di negara itu, khususnya daripada aspek ekonomi dan projek infrastruktur.

Suharto juga telah meluaskan akses terhadap pendidikan dan kesihatan, serta mentransformasikan Indonesia menjadi negara ekonomi moden.

Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia telah mengembang dengan pesat di bawah pentadbiran beliau, iaitu daripada AS$7.5 bilion pada tahun 1968 kepada AS$242 bilion pada tahun 1996.

Walau bagaimanapun, Suharto, yang juga presiden kedua Indonesia, turut dikenali sebagai seorang diktator dan beliau memerintah negara itu selama 32 tahun dengan mengamalkan rasuah, nepotisme, dan juga penindasan.

Ahli keluarga serta kroni-kroninya telah mencipta kekayaan luar biasa dengan membina empayar perniagaan dalam pelbagai bidang, termasuk memiliki stesen televisyen.

Dalam pada itu, Transparency International mendakwa bahawa Suharto telah mencuri/menyalahgunakan wang bernilai AS$35 bilion, sekali gus menjadikan beliau salah seorang pemimpin yang paling korup di dunia.

PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA

Memetik laporan Al-Jazeera, pemerintahan kuku besi Suharto turut menyaksikan pembunuhan dan ‘kehilangan’ ramai aktivis demokrasi.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International berkata, hampir setengah juta orang yang kebanyakannya terdiri daripada musuh politik beliau telah ditangkap, tetapi hanya 1,000 orang sahaja yang menjalani perbicaraan.

Demi mengekalkan ‘keamanan’ negara, pembunuhan tanpa bicara turut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah kecil.

Menurut menteri pertahanan ketika pemerintahannya, Wiranto, kempen perang dadah brutal yang dilancarkan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte ‘diinspirasikan’ oleh keadaan di Indonesia pada awal tahun 1980an.

“Suspek-suspek jenayah telah dibunuh, dan mayat mereka dibiarkan di jalanan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai,” kata Usman Hamid, ketua Amnesty International di Indonesia.

Beliau berkata, angka kematian di bawah pentadbiran Suharto mencatatkan jumlah beribu-ribu nyawa.

KEJATUHAN SUHARTO

Seorang ahli geologi di Jakarta dan bekas aktivis pelajar, Ferry Hakim berkata, kebebasan sosial dan politik disekat ketika diktator itu memerintah Indonesia, dan ia adalah satu perkara yang “mustahil” untuk mengadakan perbincangan politik di kampus universiti.

“Kami merasakan seperti ‘mata’ kerajaan memerhatikan kami di mana-mana sahaja, keadaan penuh dengan ketakutan,” katanya.

Kejatuhan Suharto berlaku ketika krisis kewangan Asia berada pada tahap kemuncak pada tahun 1998.

Hakim juga merupakan salah seorang daripada ribuan pelajar yang mengadakan protes besar-besaran untuk mendesak pengunduran Suharto.

Pelbagai siri protes itu ternyata berkesan kerana akhirnya pada 21 Mei 1998, Suharto memutuskan untuk meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada naib presidennya,Jusuf Habibie.

“Semua orang berasa gembira….kami merasakan ada harapan untuk Indonesia yang lebih baik,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Suharto menafikan segala salah laku sehingga kematiannya pada tahun 2008.

Segala cubaan untuk membicarakan Suharto telah gagal berikutan pengguguran kesnya digugurkan pada tahun 2000 kerana beliau mengalami masalah kesihatan.

LEGASI SUHARTO AKAN ‘HIDUP’ SEMULA?

Pada bulan lepas, anak bongsu, Suharto, iaitu Tommy Suharto dilaporkan akan bertanding di dalam pilihan raya akan datang untuk merebut kerusi di parlimen.

Tommy, 56,  telah disabitkan bersalah kerana mengarahkan pembunuh upahan untuk membunuh hakim mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya kerana melakukan rasuah.

Namun begitu, beliau dibebaskan pada tahun 2006, dan hanya menjalani hukuman penjara selama 4 tahun daripada tempoh 15 tahun yang dikenakan ke atasnya.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi juga telah mengarahkan keluarga Suharto untuk membayar semula wang bernilai ratusan juta dolar yang digelapkan daripada sebuah yayasan biasiswa.

Pada tahun 2016, Tommy telah menubuhkan parti politiknya sendiri bernama Parti Berkarya. Difahamkan, parti itu juga mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli lain yang merupakan pembunuh yang pernah disabitkan bersalah.

Kini, Tommy akan bertanding di wilayah Papua yang pernah berada di bawah pemerintahan bapanya, yang berjaya menggabungkan wilayah itu dengan Republik Indonesia menerusi referendum yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada akhir 1960-an.

Walau bagaimanapun, ramai pihak yang mendakwa bahawa referendum yang dilakukan itu adalah palsu.

Menurut salah seorang anggota kanan parti, penduduk Papua yang mahu Tommy untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Ia adalah permintaan penduduk di sana. Suharto (bapa Tommy) membebaskan Papua.

“Tommy sayangkan Papua dan beliau mahu mewakili penduduk di sana,” kata Badaruddin Andi Picunang, jurucakap Parti Berkarya.

Dengan kehidupan dan latar belakang keluarga yang penuh dengan kontroversi, adakah Tommy mampu ‘menghidupkan’ semula legasi politik ayahnya? Kita tunggu dan lihat pada pilihan raya bulan April depan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button