BudayaGaya Hidup

Jenis Darah Boleh Dedahkan Personaliti Sebenar Seseorang?

Bagi orang luar, jenis darah mungkin tidak lebih daripada maklumat yang diperlukan untuk menjalankan pemindahan darah. Tetapi di Korea, jenis darah sama ada A, B, O, atau AB secara luas dipercayai meramalkan personaliti dan perangai seseorang individu seperti ramalan horoskop di Barat.

Di bawah teori personaliti berdasarkan jenis darah, seseorang yang mempunyai darah jenis A adalah rajin dan prihatin terhadap orang lain, tetapi terlalu bersifat cemas dan mementingkan kesempurnaan.

Mereka yang mempunyai darah jenis B pula adalah seorang yang optimistik dan bersemangat, tetapi seorang yang pelupa dan cenderung untuk mementingkan diri sendiri.

Padanan jodoh paling buruk berdasarkan darah adalah antara wanita dengan darah jenis A dan lelaki dari darah jenis B manakala padanan romantis yang terbaik adalah antara wanita darah Jenis A dan lelaki Jenis O.

Walaupun kekurangan asas saintifik, teori personaliti berdasarkan jenis darah telah berkembang menjadi norma budaya di Korea sejak konsep itu muncul pada akhir 1990-an.

Menurut tinjauan 2017 oleh Gallup Korea, kira-kira separuh daripada penduduk (58 peratus) mengatakan mereka percaya akan teori terbabit sementara 42 peratus lagi mengatakan mereka tidak mempercayainya.

Dari segi demografi, kira-kira 34 peratus penduduk Korea mempunyai darah Jenis A dan 28 peratus adalah Jenis O, sementara 27 peratus adalah Jenis B. Jenis AB menyumbang baki 11 peratus.

Secara saintifik, jenis darah berbeza mengikut jenis protein dalam darah. Ini adalah sifat genetik yang ditentukan oleh ibu bapa dan tidak dikaitkan dengan personaliti. Walau bagaimanapun, teori ini tetap popular hingga ke hari ini.

Mengikut sejarah, sistem kumpulan darah ABO direka oleh doktor dari Austria, Karl Landsteiner yang pada tahun 1901 mendapati variasi umum dalam darah manusia, yang ditakrifkan oleh kehadiran atau ketiadaan dua antigen A dan B. penemuan yang memperoleh anugerah Nobel itu membuka jalan untuk pemindahan darah yang lebih selamat.

Pembahagian populasi berdasarkan jenis darah pula pada mulanya berasal dari Nazi Jerman, di mana penyelidikan pada tahun 1910-an dan 1920-an berusaha untuk membuktikan ketinggian darjat sesuatu bangsa dengan memeriksa jenis darah.

Idea ini kemudiannya dicedok oleh akademik Jepun, Takeji Furukawa yang menerbitkan sebuah kajian yang mencadangkan hubungan antara jenis darah dan personaliti pada tahun 1927. Pada tahun 1970-an, teori itu meningkat kepada populariti massa melalui satu siri buku yang diterbitkan oleh Masahiko Nomi, yang tidak mempunyai latar belakang perubatan.

Tidak lama selepas itu, teori personaliti berdasarkan jenis darah tiba di negara jiran Korea. Ia pada mulanya menjadi popular dalam kalangan penduduk muda. Idea ini kemudian menjadi lebih utama pada sekitar tahun 2004, apabila banyak lagu pop, filem dan program TV mempopularkan kepercayaan itu.

Satu contoh ikonik ialah berdasarkan filem komedi romantis 2005 “My Boyfriend is Type B,” yang menggambarkan bahawa sseeorang wanita dar darah jenis A dan lelaki Jenis B tidak serasi sebagai pasangan kerana personaliti yang ditentukan darah mereka.

Walaupun bertahun-tahun telah berlalu, teori personaliti berdasarkan jenis darah terus dipercayai di Korea sebagai salah satu daripada cara yang berpotensi untuk mengetahui tentang ciri-ciri yang menentukan sifat dan peribadi seseorang.

“Kepopularan teori personaliti berdasarkan jenis darah di Korea dipacu oleh keinginan untuk mempelajari lebih lanjut tentang sikap seseorang ,” kata pengkritik budaya tempatan Lee Taek-gwang yang juga seorang profesor global komunikasi di Kyung Hee University di Seoul.

“Orang ramai berminat untuk memikirkan kekuatan dan kelemahan mereka supaya mereka dapat berjaya dalam kehidupan, sama ada dalam kerjaya atau hubungan romantis. Dan teori ini menjadi kaedah mudah dan ringkas untuk menilai diri sendiri dan orang lain walaupun ia tidak perlu diambil serius,” katanya. – The Star

 

Show More

Related Articles

Back to top button