Isu SemasaMalaysiaTempatan

TUDM Perlukan Peruntukan Lebih Besar Untuk Penyelenggaraan Pesawat Tempur

Awal minggu ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Mat Sabu) mendedahkan bahawa hanya 4 daripada 28 jet pejuang buatan Rusia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mampu terbang.

Daripada 28 pesawat tempur itu, 18 adalah Sukhoi Su-30MKM manakala 10 lagi adalah MiG-29, namun kesemua 4 buah jet yang boleh beroperasi itu adalah Su-30MKM sahaja.

Pihak tentera udara dalam satu kenyataan turut menjelaskan bahawa kondisi jet Sukhoi Su-30MKM berada pada tahap yang tidak berapa baik.

Difahamkan, TUDM tidak dapat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dengan baik kerana tidak mendapat peruntukan yang cukup daripada kerajaan.

Menurut Panglima tentera udara, Tan Sri General Affendi Buang, keadaan bertambah buruk memandangkan 12 pesawat perlu menjalani penyelenggaraan besar kerana sudah mencecah usia 10 tahun.

Memetik laporan New Straits Times, Affendi menyatakan bahawa sejak tahun 2007, bajet tahunan yang diperuntukkan kepada TUDM masih tidak cukup untuk menguruskan dan menyelenggara aset-asetnya.

“Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Audit Negara, berdasarkan audit pada tahun 2017. Kekurangan dana memberi kesan secara langsung terhadap penyelenggaraan dan kesiagaan Su-30MKM kami,” katanya.

Oleh kerana itu, tentera udara terpaksa mengambil pendekatan yang lebih cermat untuk melakukan penyelenggaraan, mengikut bajet yang ada.

Pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM milik TUDM – Sumber: 11 Squadron Royal Malaysian Air Force

“Setiap Sukhoi ini memerlukan pemeriksaan penuh mandatori apabila sudah memasuki tahun perkhidmatan ke-10.

“Pemeriksaan Ini merangkumi segala aspek – daripada kerangka pesawat, avionik, enjin, komponen-komponen dan sistem pengawalan penerbangan.

“Ini adalah untuk memastikan bahawa pesawat-pesawat berkenaan boleh digunakan dan diterbangkan dengan selamat,” ujar Affendi.

Tambah beliau, pihak pembuat asal pesawat (Original Equipment Manufacturer atau OEM), Sukhoi, turut menasihatkan supaya penyelenggaraan dilakukan secara berperingkat, namun ia akan menelan kos yang tinggi.

“OEM juga memerlukan masa yang cukup untuk menentukan jenis penyelenggaraan yang sesuai untuk pesawat-pesawat ini memandangkan Su-30MKM kami adalah varian yang terbaru.

“Ini juga menandakan kali pertama bagi varian ini untuk menjalani proses tersebut,” tambah beliau.

Bukan itu sahaja, malah untuk menjalani proses ini, pesawat-pesawat berkenaan perlu di hantar semula ke Rusia, sekali gus meningkatkan kos untuk melakukannya.

Disebabkan ini, TUDM terpaksa mencari jalan penyelesaian alternatif untuk melakukan penyelenggaraan ke atas aset-asetnya demi menjimatkan kos.

Langkah alternatif ini termasuk kemungkinan untuk melakukan penyelenggaraan di dalam negara menerusi perkongsian pintar bersama syarikat-syarikat Maintenance Repair Organisation (MRO) tempatan dan pemain-pemain industri aeroangkasa.

 

Show More

Related Articles

Back to top button