Isu SemasaMalaysiaTempatan

Malaysia Akan Menganjurkan Semula Formula 1?

Tahun lepas, Malaysia secara rasmi telah menjadi tuan rumah untuk acara sukan permotoran antarabangsa, Formula 1 (F1) buat kali terakhir.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi bayangan akan ada kemungkinan perlumbaan itu akan diadakan semula di dalam negara dengan perlumbaan waktu malam seperti di Grand Prix (GP) Bahrain dan Abu Dhabi.

“Mungkin,” katanya apabila ditanya sama ada Malaysia akan kembali menganjurkan F1 sekali lagi.

Pada Rabu, 1 Ogos 2018, Dr. Mahathir telah diberi penghormatan untuk merasmikan lampu limpah ekstensif yang menerangi seluruh Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Memetik laporan media tempatan, beliau turut berpeluang untuk memandu sebuah kereta Ferrari di litar sepanjang 5.543 kilometer (km) itu ketika acara perasmian dilaksanakan

Dengan adanya lampu limpah ini, SIC dijangka akan mampu menarik lebih banyak tempahan masa di trek dan membolehkan perlumbaan dilangsungkan pada malam hari.

“Untuk F1, cahaya perlu dijadikan lebih terang kerana lampu sedia ada tidak cukup terang. Ini akan menyukarkan pelaksanaan kerja-kerja penyiaran (tv),” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir juga menyatakan bahawa SIC mempunyai potensi untuk menjadi bandar sukan permotoran yang akan menjadi platform untuk kemajuan sukan itu di dalam negara.

Difahamkan, litar canggih ini telah dilancarkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1999 ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Ujar beliau, litar berkenaan sudah mencapai pelbagai kemajuan sehingga ke hari ini.

“Sepang boleh menjadi bandar sukan permotoran di mana semua orang yang berminat terhadap aktiviti-aktiviti sedemikian boleh datang ke sini dan belajar cara-cara untuk maju di dalam bidang ini.

“Kalau kita lihat, banyak kemajuan sudah dicapai dan banyak lagi yang akan dicapai mengikut perancangan sedia ada,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia terpulang kepada barisan Jemaah Menteri untuk memutuskan sama ada akan kembalikan perlumbaan F1 di Malaysia atau tidak.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker