AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Parti Baru Thailand Tuduh Kerajaan Tentera “Cemarkan Imej Negara”

Awal tahun ini, Thailand telah menyaksikan penubuhan parti politik baru yang diasaskan oleh jutawan muda, bernama Thanathorn Juangroongruangkit.

Thanathorn, kini berusia 39 tahun, merupakan naib presiden eksekutif dan pengarah di Thai Summit Group, sebuah syarikat pengeluar alat ganti pelbagai barangan yang terkemuka di negara itu.

Diberi nama ‘Future Forward Party’ (Anakot Mai), antara tujuan utama penubuhan parti ini adalah:

1. Menghidupkan semula demokrasi

2, Membantah sebarang bentuk pentadbiran yang mengamalkan kekerasan

3. Menarik penyertaan pengundi muda dan rakyat yang dinafikan hak mengundi

4. Menjadi parti alternatif kepada pemerintahan tentera

Baru-baru ini, Future Forward Party telah mengecam tindakan kerajaan pemerintah tentera, National Council for Peace and Order (NCPO) yang membuat aduan polis ke atas tiga orang ahli mereka, termasuk Thanathron, kerana mengkritik pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, parti baru tersebut turut menyifatkan tindakan tentera sebagai “mencemarkan imej negara” kerana tidak boleh menerima pandangan-pandangan politik lain.

“NCPO menggunakan kuasa mereka untuk menindas rakyat yang mempunyai pandangan politik yang berlainan daripada mereka.

“Hasil tindakan mereka ini telah memberi impak dan mencemarkan imej negara,” kata Future Forward Party dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Reuters, Thailand sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya  umum pada bulan Mei tahun depan, selepas melalui penangguhan buat beberapa kali.

Sejak tentera mengambil alih pentadbiran negara dengan menggulingkan kerajaan terdahulu pada tahun 2014, ramai ahli politik dan pengkritik telah dipenjarakan hanya kerana tidak sehaluan dengan cara pemerintahan mereka.

Kerajaan tentera turut menuduh Thanathorn serta dua lagi anggota parti “mengganggu ketenteraman awam” dan melanggar Akta Jenayah Komputer kerana mengadakan ucapan yang membantah pentadbiran mereka menerusi Facebook.

Difahamkan, pihak polis sedang meneliti dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh kerajaan.

“Kami telah memanggil mereka untuk soal siasat. Sekiranya kami merasakan terdapat bukti, kami akan meneruskan dakwaaan,” kata Athilak Whangsirivorakoon, pegawai polis yang sedang menyiasat kes ini.

Selepas menggulingkan kerajaan terdahulu, tentera telah berikrar untuk menghapuskan rasuah, memulihkan negara, dan hanya memerintah negara buat tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun, rasuah dilaporkan masih lagi berleluasa, dan mereka telah mentadbir negara selama empat tahun, iaitu lebih dua tahun daripada tempoh yang dijanjikan.

Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha, yang juga individu yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014, tidak menunjukkan sebarang petanda untuk melepaskan kuasanya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker