Isu SemasaMalaysiaTempatan

Malaysia Tidak Mahu Laut China Selatan Menjadi “Zon Perang”

Malaysia akan meneruskan diplomasi dan dialog bersama Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung kehadiran tentera kedua-dua kuasa dunia itu di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau lebih mesra dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ berkata, kehadiran mereka di kawasan perairan berkenaan mencetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan negara.

“Oleh itu, kita akan meningkatkan usaha dialog dan dilomasi bersama China dan AS untuk mengelak kawasan berkenaan daripada menjadi zon perang,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kepala Batas (UMNO-BN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di dalam Dewan Rakyat pada Isnin.

Lebih menarik lagi, ini juga merupakan kali pertama bagi Mat Sabu untuk menjawab soalan sebagai seorang Menteri Kabinet.

Memetik laporan The Star, Ahli Parlimen Pasir Gudang (Pakatan Harapan), Hassan Abdul Karim turut mengajukan soalan tambahan kepada Mat Sabu, mengenai kehadiran kapal bersenjata nuklear di Selat Melaka.

Tegas Menteri Pertahanan, kapal-kapal tersebut hanya dibenarkan untuk melalui kawasan perairan berkenaan, namun dilarang untuk bertempat di sana.

“Jika mereka hanya ingin lalu (Selat Melaka), itu boleh dibincangkan, tetapi kita tidak akan benarkan mereka mengadakan latihan ketenteraan bersama atau menempatkan kapal di sini kerana ia boleh membawa konflik,” katanya.

Ujar beliau, keselamatan di sepanjang Selat Melaka amat penting dan perlu dipelihara memandangkan ia adalah laluan perairan yang paling sibuk di dunia, di mana kira-kira 100,000 kapal melaluinya setiap tahun.

Dalam pada itu, Mat Sabu turut menjelaskan isu berkaitan kehadiran tentera Malaysia di Arab Saudi.

Beliau berkata, tindakan kerajaan terdahulu menghantar tentera ke Arab Saudi pada dua tahun lepas bertujuan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di zon konflik di Yaman.

Memandangkan misi tersebut sudah selesai, kehadiran tentera Malaysia tidak lagi diperlukan di sana dan kini boleh pulang semula ke tanah air.

“Misi sudah selesai maka tidak perlu tentera Malaysia untuk terus berada di sana,” jelas beliau sambil menambah bahawa Malaysia juga tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk konflik dengan mana-mana negara lain, termasuk negara-negara di Asia Barat.

Mat Sabu berkata, Malaysia hanya akan menghantar tentera tempatan ke luar negara atas dasar berkecuali sekiranya diminta oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa Malaysia akan terus mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan bersama Arab Saudi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close