Bisnes & EkonomiTips Kewangan

Cara-Cara Untuk Mengenal Pasti “Scammer”

Masalah membabitkan ‘scammer’ (orang yang menipu) adalah satu jenayah yang serius di mana jumlah kerugian dialami mangsa pada tahun 2017 mencatatkan sebanyak RM113.11 juta.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), kes penipuan menerusi panggilan dan SMS sehingga Oktober 2017 yang direkodkan berjumlah 3,069 kes.

Jadi, adakah kita sebagai pengguna mempunyai pilihan atau langkah persediaan untuk membanteras kegiatan ini? Ketahui tanda-tanda dan cara untuk mengelakkan diri anda daripada diperdaya oleh scammer yang semakin bijak menukar modus operandi mereka.

Garis Panduan Mengenai Bagaimana Mereka Bercakap

Salah satu tanda yang paling mudah untuk dikenal pasti ialah scammer selalunya mempunyai kemahiran tatabahasa yang kurang baik. Walau bagaimanapun, memandangkan penggunaan bahasa Inggeris “Manglish” di Malaysia, ini mungkin bukan kaedah terbaik untuk membezakannya.

Banyak ahli perniagaan yang sah menggunakan bahasa Inggeris pasar kerana ia lebih mudah untuk berurusan dengan pelanggan. Tetapi tanda-tanda yang lebih jelas yang biasa dilakukan scammer ialah:

1) Apabila anda bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan yang samar-samar dengan mengelak pertanyaan atau mengubah jawapan mereka dari yang sebelumnya.

2) Apabila disoal tentang ‘perniagaan’ mereka, scammer akan mula marah, menjadi gementar, sarkastik atau agresif kerana berasa tercabar terhadap kenyataan anda.

3) Scammer menggunakan ayat dan kenyataan yang panjang. Penipu biasanya cuba menambahkan perincian tambahan dalam usaha untuk meyakinkan. Dengan jawapan yang panjang juga, ia dijadikan cara untuk mengelakkan menjawab pertanyaan.

4) Scammer akan memberikan tempoh masa yang singkat untuk transaksi pemindahan wang, sama ada melalui ancaman atau paksaan. Ini adalah supaya anda tidak mempunyai masa untuk memeriksa kewujudan syarikat mereka di Google atau sebarang tindakan waspada yang lain.

Bagaimana Untuk Membezakan Perniagaan Penipuan Atau Sah?

1) Jangan terpedaya dengan imej atau logo rasmi yang digunakan. Dengan hanya menggunakan Microsoft PowerPoint dan beberapa logo dari internet, seseorang itu sudah mampu ‘mewujudkan’ syarikat dan menjalankan ‘perniagaan’ mereka.

2) Jika tawaran atau faedah yang diberikan adalah keterlaluan dan tidak masuk akal, ia mungkin penipuan. Ini kerana pelaburan yang sebenar tidak dapat menjamin sebarang pulangan.

3) Bertanya soalan. Tanya sebanyak mungkin soalan kepada peniaga yang menghubungi anda. Malah, anda juga boleh meminta orang lain untuk membantu memikirkan soalan untuk disoal.

4) Jika peniaga terus cuba menghalang anda daripada memberitahu rakan dan keluarga mengenai perjanjian sekurang-kurangnya sehingga anda telah membayar wang itu, mereka cuba memastikan bahawa anda tidak mendapat pendapat kedua. Batalkan perjanjian terbabit kerana ini mungkin bukan urusan perniagaan yang sah.

5) Google mereka. Lakukan pemeriksaan mendalam tentang syarikat mereka kerana sesetengah penipu telah pandai ‘mewujudkan’ syarikat mereka dalam beberapa carian pertama dengan laman web atau artikel yang memberikan komen positif.

6) Semak nama syarikat / pengasas dengan senarai scammer yang boleh didapati dalam talian, seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Syarikat Pelaburan Haram di bawah senarai BNM. Namun perlu diingatkan, hanya kerana mereka tidak tersenarai dalam laman terbabit, ia tidak bermakna mereka selamat.

Sumber: Vulcan post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button