Isu SemasaPolitikTempatan

Mengapa Rafizi Mahu Bertanding Jawatan Timbalan Presiden PKR?

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli telah menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti PKR bulan Ogos ini.

Jawatan itu kini dipegang oleh Datuk Seri Azmin Ali, namun masih tiada pengesahan sama ada Azmin akan mempertahankan kedudukannya atau akan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan presiden PKR.

Tetapi, apa sebenarnya yang mendorong Rafizi untuk bertanding? Terdapat empat sebab iaitu:

1. Menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang

2. Mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan PKR

3. “Jiwa reformasi tidak boleh lari dengan PKR”

4. Demi menjaga kebajikan akar umbi parti

“Anwar akan menjadi perdana menteri ke-8. Ini bermakna beliau memerlukan pasukan kepimpinan yang menyokongnya 100%.” – Rafizi

Memetik laporan New Straits Times, Rafizi menegaskan bahawa sokongannya terhadap Anwar tidak membawa maksud bahawa beliau taksub dengan ahli politik veteran itu.

Menurut Rafizi, apabila Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang, beliau tetap memerlukan mandat penuh daripada kepimpinan parti.

“Kita tidak mahu kepimpinan yang menyokong di hadapannya (Anwar), tetapi bercakap lain di belakangnya,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Rafizi turut berharap agar PKR menjadi sebuah parti yang bebas daripada budaya feudal yang melarang anggota-anggota akar umbi daripada menegur pemimpin-pemimpin parti.

Meskipun tewas di dalam pemilihan kali ini, beliau akan tetap menegur jika terdapat salah laku di dalam parti memandangkan kepimpinan memerlukan proses timbang tara.

“Jangan ada mana-mana pemimpin cuba bawa budaya kotor dalam parti. Siapa-siapa, pimpinan mana bawa budaya kotor, budaya feudal, kita lawan habis-habisan. Ini parti rakyat.

“Buang politik wang, jangan gunakan kuasa untuk tindas orang. Mulut saya memang tidak boleh tutup, saya akan tegur,” tegasnya.

Sementara itu, tidak dinafikan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah satu pencapaian yang patut dibanggakan.

Walau bagaimanapun, Rafizi mendakwa bahawa terdapat segelintir pemimpin partinya yang sudah mula “lupa daratan” dan mengetepikan tujuan asal parti yang memperjuangkan hak-hak rakyat.

Jelas Rafizi, sesetengah daripada mereka telah dilantik menjadi menteri dan setiausaha politik, namun beliau tidak menyebut nama-nama mereka.

“Jangan jadi terlalu selesa…..Apabila mereka sudah menang, mereka kini menaiki kereta besar, mendapat banyak peruntukan.

“Mereka tidak lagi menjadi parti yang memperjuangkan rakyat,” katanya di majlis ‘Reformasi 20 Tahun, bagi menyambut ulang tahun ke 20 pergerakan reformasi.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close