AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Gagal Lindungi Mangsa Keganasan Seksual?

Undang-undang anti rogol yang ketat, dilihat sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan oleh aktivis hak asasi manusia, kini telah dikuatkuasakan di Indonesia . Namun, negara itu dilihat masih gagal menjamin keselamatan warga kanak-kanaknya terutama perempuan.

Dengan mengenakan hukuman kebiri kimia, Undang-Undang Perlindungan Kanak-kanak yang diperkenalkan pada tahun 2016 adalah amaran kepada pesalah bahawa merogol kanak-kanak adalah tidak dapat diterima. Ia diperkenalkan oleh Presiden Joko Widodo bagi menunjukkan kemarahan negara terhadap pemerkosaan beramai-ramai dan pembunuhan seorang gadis berusia 14 tahun di Bengkulu.

Tetapi dua tahun kemudian, dalam keadaan ironik dan tragik, undang-undang yang sama itu digunakan untuk menghukum seorang gadis berusia 15 tahun.

Gadis yang tinggal di Batanghari, Jambi, dijatuhi hukuman enam bulan penjara kerana menggugurkan janinnya yang berusia lapan bulan di bawah Perkara 77 Undang-undang Perlindungan Kanak-kanak 2016.

Gadis yang jarang meninggalkan rumahnya itu, tinggal bersama abangnya yang berusia 18 tahun dan ibu berusia 38 tahun. Abangnya didakwa merogolnya berulang kali. Ibunya, yang ditinggalkan oleh bapanya, membantunya menggugurkan kandungan.

Kes gadis malang itu menunjukkan bagaimana undang-undang baru di negara republik itu telah gagal untuk memenuhi tujuannya.

Tragedi keluarga Jambi tidak menjadi tajuk utama dalam media nasional. Walaupun media tempatan melaporkan secara meluas mengenai kes itu, tetapi ia ditulis sebagai cerita sumbang mahram dan pembunuhan di mana gadis tersebut adalah mangsa dan pelaku. Ia tersirat bahawa hubungan seksual antara kedua adik-beradik itu adalah bersifat konsensus.

Akhbar tempatan dalam laporannya seperti mengabaikan fakta bahawa abang gadis tersebut mengancam untuk mencederakannya secara fizikal jika dia melawan. Sementara itu, abang mangsa dipenjarakan dua tahun kerana merogol gadis bawah umur.

Tetapi media mungkin tidak bersalah sepenuhnya kerana mereka hanya menulis apa yang orang ramai mahukan. Apa yang menyedihkan adalah sudah menjadi norma masyarakat untuk meletakkan kesalahan pada si mangsa berbanding si pemangsa, dengan banyak pemimpin agama dan pegawai-pegawai awam menyalahkan pakaian wanita dalam kes keganasan seksual.

Dalam satu laporan berbeza, seorang pelajar berusia 16 tahun di Bogor, Jawa Barat, mengalami kemurungan dan kemudian meninggal dunia setelah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya di sebuah rumah kosong.

Dia sebenarnya dirogol oleh lapan orang, termasuk teman lelakinya sendiri. Polis telah menangkap pelaku, termasuk kanak-kanak lelaki di bawah umur.

Tidak seperti kes rogol Bengkulu tahun 2016, kedua-dua kes Jambi atau Bogor tidak mencetuskan kemarahan orang ramai kerana kepercayaan bahawa mangsa kejadian perlu disalahkan atas apa yang berlaku kepada mereka.

Undang-undang yang ketat sudah tentu diperlukan untuk memerangi keganasan seksual. Tetapi ia memerlukan lebih daripada sekadar undang-undang untuk menjaga maruah mangsa.

Gadis di Jambi bukan sahaja menjadi mangsa pencerobohan seksual abangnya; dia juga menjadi mangsa rogol dan obsesi masyarakat yang buta moral, yang menyebabkan kegagalan orang ramai membezakan kesalahan antara mangsa penderaan seksual dan pemangsa.

Selagi rakyat Indonesia enggan berhadapan dengan masalah ini, mereka akan terus gagal untuk melindungi kanak-kanak mereka, tidak kira seberat mana pun undang-undang anti rogol yang dilaksanakan oleh kerajaan. – The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button