Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Kerajaan Kelantan Akan Terus Perjuangkan RUU 355

Kerajaan Negeri Kelantan masih kekal optimis bahawa kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan memberi laluan untuk pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.

Memetik laporan New Straits Times, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, meluahkan keyakinan itu berlandaskan kesanggupan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melakukan pelbagai perubahan, termasuk memberi royalti minyak kepada Kelantan.

“Dr. Mahathir ketika menjadi perdana menteri (keempat) sebelum ini telah menafikan hak pembayaran royalti kepada Kelantan, namun beliau telah bersetuju untuk membayarnya baru-baru ini.

“Sama seperti perkara ini (RUU 355), beliau sebelum ini membantah dan memberi amaran agar enakmen itu tidak diteruskan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, pada hari Selasa lalu.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin yakin bahawa sikap seseorang boleh berubah dan ini termasuk perdana menteri sendiri.

“Kita beranggapan dan berharap bahawa isu RUU 355 juga sama seperti isu royalti,” tambah beliau.

Md Alwi, yang juga ketua pembangkang di DUN Kelantan berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS telah berjaya meyakinkan pentadbiran terdahulu yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) untuk membawa usul berkenaan menerusi rang undang-undang persendiran yang dibawa oleh ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awaang.

Oleh itu, beliau berhasrat untuk ‘test’ atau menguji Dr. Mahathir untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan PH mengenai perkara ini.

“Tak boleh ke kali ini, kita ‘test’ perdana menteri ke-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita buat apa yang kita boleh buat dan kita tengok apa yang mereka (kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan) boleh lakukan.

“Kita yakin rakyat bersama-sama kita untuk melihat sesuatu yang baik mengenai Islam,” katanya.

Sementara itu, Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti menyatakan bahawa Kelantan tidak putus harapan dan akan terus berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan berhubung RUU 355.

RUU 355 bertujuan untuk memperkasakan lagi kedudukan Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kes-kes berkaitan salah laku syariah.

Selain itu, ia juga tidak memperuntukkan undang-undang hudud dan hanya terhad kepada orang Islam sahaja.

Show More

Related Articles

Back to top button