Isu SemasaPolitikTempatan

UMNO Dan PAS Akan Bergabung?

Era ‘Malaysia Baru’ di bawah pentadbiran PH sedang menyaksikan pelbagai perubahan dalam landskap politik negara, dan salah satu yang wajar diberi perhatian adalah hubungan parti UMNO dan PAS yang dilihat semakin akrab.

Tetapi persoalannya, adakah kedua-dua parti ini akan bergabung pada suatu hari nanti?

Walaupun masih tiada jawapan untuk menjawab persoalan tersebut, senario ini tidak mustahil untuk berlaku memandangkan sudah terdapat ‘petanda kecil’.

Menurut calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam, kerjasama di antara UMNO dan PAS boleh direalisasikan, tetapi hanya jika semua pihak mengetepikan ego masing-masing.

Beliau berkata, kerjasama di antara kedua-dua parti itu sangat mustahak lebih-lebih lagi dalam keadaan negara pada masa kini yang sedang menghadapi pelbagai isu, khususnya yang membabitkan hal ehwal Islam.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis diharap menjadi titik permulaan kepada UMNO dan PAS untuk membentuk lebih banyak kerjasama pada masa depan.

“Ya, mungkin semua orang cakap UMNO dan BN tidak boleh menang di Sungai Kandis. Namun sekurangnya kita boleh bersatu atas dasar Islam dan Melayu,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut meluahkan keyakinannya bahawa kerjasama di antara UMNO dan PAS mampu menbentuk suara pembangkang yang kuat.

“UMNO dan PAS ialah parti Melayu yang mempunyai pengaruh serta kekuatan sendiri. Kedua-dua parti perlu membentuk kesepakatan yang kuat untuk menentang ‘mereka’,” katanya merujuk kepada Pakatan Harapan.

Tegas beliau lagi, PH juga akan menjadi lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai agama Islam sekiranya melihat suara UMNO dan PAS yang “sangat kuat”.

Sementara itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyedari potensi gabungan UMNO dan PAS.

“Keputusan PRK ini akan menjadi keputusan sangat unik kerana PAS dan UMNO sedang ‘test market‘ di mana mereka tidak mahu adakan pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sekiranya PH tidak berjaya “menang besar” dalam PRK DUN Sungai Kandis, ia kemungkinan akan menjadi petanda bahawa UMNO dan PAS akan bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2023 nanti.

“Kalau kita (PH) tidak berjaya menang besar, besar kemungkinan ini dijadikan isyarat bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung berentap dengan PH dalam PRU akan datang,” katanya selepas menghadiri program “Kenduri Rakyat Nasi Ambeng” di Masjid Ar-Rahimin, Kampung Telok Menegon, pada Khamis, 26 Julai 2018.

Ujar beliau lagi, PRK ini juga akan menjadi garis ukur untuk melihat kerajaan pemerintah sedia ada meneruskan agenda pembangunan di dalam negara, khususnya di Selangor.

PRK DUN Sungai Kandis yang akan berlangsung pada 4 Ogos tidak lama lagi adalah pilihan raya kecil yang pertama selepas PRU14.

Ia diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

PRK ini akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan calon Bebas, K. Murthy.

Jadi, adakah UMNO dan PAS akan bergabung pada masa akan datang? Kita tunggu dan lihat kerana di dalam arena politik, tiada kawan dan musuh yang kekal abadi.

Show More

Related Articles

Back to top button