Sukan

Tugas Malaysia Semakin Sukar Dengan Kemasukan UAE

Pasukan bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun bakal berdepan jalan sukar di Sukan Asia 2018 Indonesia selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dimasukkan ke dalam Kumpulan E selepas cabutan semula di buat di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Cabutan semula itu turut menyaksikan tuan rumah Indonesia di dalam Kumpulan A, bakal berdepan cabaran baharu dengan kemasukan pasukan Palestin.

Palestin diletakkan di dalam Kumpulan A bersama-sama Hong Kong, Laos, Taiwan dan Indonesia, sementara UAE akan beraksi di dalam Kumpulan E yang turut menempatkan juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan, Bahrain dan Malaysia.

Kedua-dua Indonesia dan Malaysia akan bermain lebih satu perlawanan di peringkat kumpulan.

“Kita tidak membuat cabutan baharu untuk kesemua 26 pasukan tetapi kami membantu Majlis Olimpik Asia membuat cabutan baru bagi menentukan kumpulan mana Palestin dan UAE akan diletakkan,” ujar Windsor.

Pengurus pasukan Malaysia, Datuk Yusoff Mahadi berkata pasukan bawah 23 tahunnya akan berdepan misi sukar dengan penyertaan UAE di dalam kumpulan mereka.

“UAE adalah pasukan yang kuat dan mereka mampu mencabar mana-mana pasukan di dalam temasya ini untuk memenangi pingat emas.

“Walau bagaimanapun, kita tidak akan memberi sebarang alasan kerana cabutan telah dibuat.

“Saya mahu anak-anak buah saya mengambil cabaran berdepan pasukan UAE.

“Pemain-pemain patut bersatu dan tidak mengalah.

“Mereka patut melihat kembali kepada kejayaan mereka mencapai peringkat suku akhir pertandingan AFC Bawah 23 tahun di China pada bulan Januari yang lepas.

“Sampai ke peringkat suku akhir itu patut memberi motivasi dan mengingatkan mereka bahawa tiada yang mustahil,” kata Yusoff.

Setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Indonesia, Ratu Tisha Destria yang menyaksikan cabutan semalam berkata sayang sekali kerana tuan rumah Indonesia dan Malaysia terpaksa bermain lebih satu perlawanan di Sukan Asia.

“Bermain lebih satu perlawanan akan menambah tekanan ke atas kedua-dua pasukan.

“Dengan 26 pasukan bertanding, kita perlu membawa jadual perlawanan ke hadapan, daripada 14 Ogos kepada 10 Ogos.

“Dua kumpulan yang mempunyai lima pasukan akan melakukan sepak mula pada 10 Ogos sementara kumpulan yang mempunyai empat pasukan akan memulakan kempen mereka pada 14 Ogos,” kata Ratu Tisha.

Kumpulan B menempatkan pasukan Thailand, Uzbekistan, Bangladesh dan Qatar sementara Iraq, China, Timor Leste dan Syria diletakkan ke dalam Pasukan C.

Jepun, Vietnam, Pakistan dan Nepal berada di dalam Kumpulan D dan Kumpulan F terdiri daripada pasukan Korea Utara, Arab Saudi, Iran dan Myanmar.

Show More

Related Articles

Back to top button