AntarabangsaIsu Semasa

Kim Jong-Un Mahu Tentera “Merasai Kasih Sayang” Mendiang Ayahnya

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un mahu agar anggota-anggota tenteranya diberi makanan yang lebih berkualiti.

Pada tahun lepas, keadaan kesihatan seorang anggota tentera Pyongyang yang telah membelot menggambarkan masalah pemakanan/nutrisi yang dihadapi di negara itu.

Difahamkan, askar tersebut telah meninggalkan pos kawalan di Zon Bebas Tentera (DMZ) dan kemudian menaiki kenderaan menuju ke garisan sempadan.

Walau bagaimanapun, mangsa telah ditembak di bahagian siku dan bahu oleh tentera Korea Utara yang lain ketika sedang keluar daripada kenderaan itu, namun dia terselamat dan berjaya melarikan diri ke arah Korea Selatan.

Memetik laporan agensi berita tempatan, KCNA, Kim menyatakan bahawa kilang bekalan makanan tentera di negaranya perlu mengeluarkan makanan yang lebih enak dan berkhasiat sekali gus dapat memperbaiki diet anggota-anggota yang berkhidmat.

Dalam pada itu, Kim turut mencadangkan agar produk-produk berasaskan soya diberi kepada tenteranya yang akan memberi manfaat kesihatan kepada mereka.

Difahamkan, kacang soya mengandungi kira-kira 36% sumber protein.

“Pegawai serta kakitangan kilang perlu meningkatkan pelan pengeluaran makanan di setiap peringkat, dan perkara ini selaras dengan niat murni Kim Jong-Il (mendiang bapa Jong-un) yang tidak menyembunyikan sebarang rahsia daripada tentera.

“Pastikan mereka (tentera) merasai kasih sayangnya (Kim Jong-Il),” kata Kim apabila beliau sendiri turun padang untuk melawat kilang berkenaan.

Kunjungan Kim ke kilang bekalan makanan tentera itu merupakan salah satu daripada beberapa siri lawatannya ke pelbagai industri di dalam negara dan zon ekonomi khas berdekatan sempadan Korea Utara dengan China.

Berdasarkan statistik Bank Dunia, jumlah populasi keseluruhan Korea Utara adalah kira-kira 25.4 juta penduduk, dan Kementerian Pertahanan Korea Selatan menganggarkan bahawa 1.28 juta daripada jumlah itu adalah individu yang berkhidmat untuk Korean People’s Army.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button