AntarabangsaIsu SemasaMalaysiaPolitik

Hina Agama Dan Kaum, Penjara 7 Tahun Menanti

Kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) bakal memperkenalkan beberapa undang-undang baharu khas untuk menangani isu-isu yang membabitkan penghinaan agama dan kaum di Malaysia.

Rang undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi adalah:

1. Akta Anti-Diskriminasi

2. Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian

3. Akta Kebencian Agama dan Kaum

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, dengan adanya undang-undang baru ini, sesiapa yang didapati bersalah menghina mana-mana agama dan kaum akan berhadapan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau bayaran denda sebanyak RM100,000.

“Isu perkauman dan kebencian agama adalah isu yang penting. Sekiranya seseorang mengeluarkan kenyataan untuk mencetuskan kebencian terhadap sesuatu kaum atau agama, ia akan memberi impak yang besar,” katanya dalam satu temubual bersama Sin Chew Daily.

Tambahnya lagi, akta ini bukan sahaja untuk melindungi agama Islam, tetapi ia turut merangkumi perlindungan  semua agama yang ada di Malaysia.

Sekiranya segala proses berjalan lancar, kerajaan akan membentangkan ketiga-tiga RUU berkenaan pada mesyuarat Parlimen pada bulan Oktober nanti.

Namun jika masa tidak mengizinkan, pembentangan akan ditangguhkan ke bulan Februari tahun hadapan.

Menurut Dr. Mujahid, undang-undang ini juga tidak akan digunakan untuk mendakwa seseorang itu dengan sewenang-wenangnya.

Akta-akta ini juga akan memberikan definisi yang jelas mengenai tindakan-tindakan yang menghina agama dan kaum.

Memetik laporan The Star, beliau menyatakan bahawa individu-individu yang akan didakwa adalah mereka yang menggunakan media sosial atau saluran-saluran lain untuk menghina sesuatu agama secara berulang kali dan mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman menerusi ucapan atau perkataan.

“Kita akan mempunyai definisi yang khusus dan tepat. Jika seseorang menghancurkan keharmonian masyarakat secara sengaja dan berulang kali, menyakiti orang lain, dan sebagainya, ia dianggap sebagai kesalahan.

“Jika ia adalah sekadar jenaka dalam sebuah perbualan, ia tidak menjadi satu kesalahan….Saya tidak rasa ini perlu dihukum,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, malah Dr. Mujahid berkata, golongan bukan Islam juga boleh memberi pandangan terhadap Islam.

Walaupun kritikan tersebut keras, ia tidak menjadi kesalahan jika ia disampaikan dengan cara yang sopan dan ikhlas.

Ujar beliau, langkah ini akan membezakan sama ada seseorang itu memberi cadangan atau sedang melakukan penghinaan.

Akta-akta baru ini juga bukan bertujuan untuk mengehadkan hak kebebasan bersuara.

“Tetapi jika seseorang menghina agama-agama lain dengan sengaja, ini bermakna dia telah melakukan kesalahan jenayah dan patut dikenakan tindakan undang-undang.

“Semua orang perlu memahami prinsip ini kerana ia akan memanfaatkan negara. Saya berharap rakyat akan menyokong undang-undang ini,” jelasnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker