Isu SemasaPolitikTempatan

Penjawat Awam Perlu Setia Dengan Kerajaan Pemerintah, Bukan Parti Politik

Bulan Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mempersoalkan kesetiaan kakitangan-kakitangan awam senior yang dilihat ‘keterlaluan’ dalam menyokong kerajaan terdahulu yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, menerusi penulisannya di akhbar The Star berjudul “Civil service must remain neutral,” menyatakan bahawa perkhidmatan awam perlu sentiasa menjadi neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Ini bermakna, penjawat-penjawat awam perlu berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah, dan tidak boleh menggunakan kedudukan mereka sebagai kakitangan awam untuk berkempen bagi menyokong atau menentang mana-mana parti politik.

Pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menyalahgunakan sumber atau kuasa kerajaan untuk tujuan politik yang memperjuangkan pihak-pihak tertentu.

Menurut Zaki, kakitangan awam perlu memastikan bahawa tindakan-tindakan mereka adalah demi kepentingan kerajaan, dan bukan untuk kepentingan lain.

Pendirian politik peribadi pula tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada diri mereka untuk melaksanakan dasar-dasar serta perancangan kerajaan pemerintah semasa.

Ujar beliau, penjawat awam perlu memahami bahawa hanya ahli politik sahaja yang mempunyai kesahihan demokratik, dan pada masa yang sama juga harus menerima hakikat bahawa ahli-ahli politik yang mempunyai kuasa untuk membuat sesuatu keputusan.

Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin politik harus bertanggungjawab dalam melindungi penjawat awam daripada sebarang bentuk gangguan politik.

Ini termasuk memastikan agar kakitangan awam tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik atau debat.

Arena politik adalah sebuah ‘dunia’ yang khas untuk ahli politik sahaja; manakala pelaksanaan dasar-dasar dalam pentadbiran kerajaan pula adalah tanggungjawab penjawat awam.

Kerajaan mungkin akan sentiasa berubah, dan parti politik mana yang akan memerintah bergantung kepada prestasi mereka di dalam pilihan raya.

Walaupun perubahan kerajaan boleh berlaku di Malaysia, namun para penjawat awam masih kekal dengan pekerjaan mereka.

Keadaan ini amat berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) kerana apabila seseorang presiden baru dilantik, kesemua 8,000 orang kakitangan kerajaan terdahulu akan diberhentikan, dan 8,000 penjawat awam baru akan dilantik di bawah pentadbiran pemimpin baru.

Seperti yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai-pegawai kerajaan mempunyai hak untuk mengundi di dalam pilihan raya umum, namun mereka dilarang untuk bertanding, memegang sebarang kerusi di dalam Parlimen, atau terlibat dalam mana-mana parti politk.

Peraturan-peraturan ini menunjukkan bahawa penjawat awam perlu mengekalkan profesionalisme dan neutraliti mereka tanpa mengira parti politik mana yang memegang tampuk pemerintahan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button