Isu SemasaMalaysiaTempatan

Jabatan Imigresen Larang 43,429 Warga Asing Masuk Ke Malaysia

Jabatan Imigresen telah mengenakan perintah larangan masuk ke Malaysia terhadap 43,429 warga asing pada tahun ini.

Memetik laporan The Star, ketua pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyatakan bahawa arahan tersebut dikeluarkan menerusi Notis Tolak Kemasukan (NTL)

Beliau berkata, NTL tersebut telah diberi kepada individu-individu yang mencurigakan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63, dan mereka turut diarahkan untuk kembali semula ke destinasi terakhir mereka sebelum tiba di Malaysia.

“Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan yang ketat untuk memastikan tiada seorang pun warga asing mencurigakan masuk (ke dalam negara),” katanya.

Difahamkan, jumlah warga asing paling ramai dikenakan sekatan adalah di Selangor (22,037) dan Johor (17,609).

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen sudah pun mengambil pelbagai langkah untuk memastikan syarat-syarat kemasukan ke Malaysia diketahui secara meluas.

Maklumat-maklumat tersebut juga boleh diperoleh di kedutaan-kedutaan serta konsulat Malaysia di luar negara.

“Oleh itu, seseorang yang ingin memasuki Malaysia sudah tidak boleh lagi memberi alasan tidak tahu syarat-syaratnya, sama ada untuk tujuan kerja atau melancong.

“Kita mempunyai 137 pintu masuk di seluruh negara, jadi kami perlu sentiasa berjaga-jaga demi memastikan keselamatan tidak dikompromi,” tegasnya.

Menyentuh soal pendatang asing tanpa izin (PATI) pula, Mustafar menyatakan bahawa pihaknya telah memberi masa kepada mereka serta majikan untuk mengambil bahagian dalam program pengambilan kerja daripada 15 Februari 2016 sehingga 30 Jun pada tahun ini.

“Ia (program itu) adalah untuk memberi peluang kepada pendatang tanpa izin bagi mendapatkan dokumen kerja yang sah.

“Kira-kira 744,000 peekrja asing telah berdaftar, namun hanya 450,000 gagal untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, imigresen juga telah memperkenalkan “program serah diri secara sukarela (3+1)”, di mana PATI boleh membayar denda RM400 dan pulang semula ke negara mereka menggunakan wang sendiri dengan bantuan kedutaan negara masing-masing.

“Program ini akan tamat pada 30 Ogos dan kami tidak akan melanjutkannya.

“Mulai 31 Ogos, kami akan mengukuhkan lagi penguatkuasaan ke atas pendatang tanpa izin,” kata Mustafar.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button