Isu SemasaMalaysiaTempatan

Wajarkah Elaun Ahli Parlimen ‘Kaki Ponteng’ Dipotong?

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meluahkan perasaan tidak puas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri di Parlimen bagi sesi persidangan.

Tegas beliau, menteri dan timbalan menteri yang gagal hadir di Dewan Rakyat harus memberi sebab yang munasabah untuk menjelaskan ketidakhadiran mereka.

“Saya tidak pernah berpuas hati dengan semua perkara, namun menteri dan timbalan menteri perlu meningkatkan prestasi kehadiran mereka di Dewan Rakyat dan mereka perlu ada alasan yang kukuh untuk tidak hadir,” katanya.

Namun, Dr. Mahathir tidak bercadang untuk menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi mengukur prestasi barisan Kabinetnya di Parlimen kerana mereka juga mempunyai tugasan lain yang perlu dilaksanakan.

Sementara itu, bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan terdahulu, Tan Sri Dr. Rais Yatim pula mengemukakan cadangan untuk memotong elaun anggota-anggota parlimen sekiranya korum Dewan Rakyat tidak mencukupi.

Bukan itu sahaja, malah beliau turut mencadangkan agar nama-nama anggota parlimen yang disifatkan sebagai ‘malas’ disiarkan di dalam akhbar atau media sosial.

Memetik laporan The Star, Dr. Rais berkata demikian ketika memberi komen mengenai sidang sesi petang Dewan Rakyat pada hari Selasa yang terpaksa ditangguhkan sebentar apabila korum minimum 26 anggota parlimen gagal dicapai selepas waktu rehat dan makan tengah hari selama 90 minit.

“Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah untuk memotong elaun bulanan ahli mengikut kadar arahan JK (jawatankuasa) Pilihan Dewan,” katanya menerusi Twitter.

Selain daripada pendapatan bulanan, anggota-anggota parlimen menerima elaun bulanan bernilai RM5,000 untuk tujuan perjalanan, hiburan, membayar gaji pemandu, dan bil telefon.

Ahli-ahli Yang Berhormat turut menerima elaun tambahan RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Parlimen dan RM150 sehari apabila menghadiri mesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan.

Oleh yang demikian, wajarkah elaun anggota parlimen dipotong sekiranya ‘malas’ menghadiri persidangan Dewan Rakyat?

Berikan pandangan anda di ruangan komen!

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker