Gaya HidupKesihatan

Mengenal Pasti Individu Yang Cuba Bunuh Diri

Terdapat banyak perbincangan mengenai isu bunuh diri sejak kebelakangan ini terutama yang melibatkan orang yang terkenal. Bunuh diri bukan sahaja boleh berlaku kepada orang dewasa, tetapi juga remaja.

Adalah penting untuk diingati bahawa keputusan untuk membunuh diri boleh dilakukan oleh mana-mana remaja, walau sebaik mana pun mereka sebelumnya.

Sebarang petunjuk untuk membunuh diri haruslah diambil serius dan tidak boleh dipandang remeh. Kadang-kadang, remaja hanya ingin mendapat perhatian tetapi jika dengan membunuh diri, itu bukanlah cara yang terbaik untuk mendapatkan perhatian daripada orang sekeliling mereka.

Kita harus mencari petunjuk tidak kiralah sama ada anda seorang ibu bapa, saudara, guru atau kaunselor bimbingan atau pun sebagai rakan sebaya.

Harus diingat bahawa apabila remaja telah terdedah kepada remaja lain yang telah membunuh diri, remaja itu lebih cenderung untuk melakukan bunuh diri juga. Ini dikenali sebagai “penularan bunuh diri”.

BAGAIMANA UNTUK MENGENALI MEREKA?

Berikut adalah beberapa tanda amaran bahawa seorang remaja yang anda kenali mungkin merancang untuk membunuh diri. Ia adalah ketika remaja itu:

  • Bercakap tentang melakukan bunuh diri atau mahu mati
  • Mencari cara untuk membahayakan diri sendiri, seperti membeli racun yang diketahui (contohnya paraquat), atau mendapatkan akses kepada tali atau pisau
  • Bercakap tentang rasa putus asa, tidak berdaya atau tidak mempunyai sebab untuk hidup
  • Bercakap tentang kesakitan yang mereka tidak tahan, atau merasa terperangkap
  • Bercakap tentang menjadi beban kepada orang lain
  • Mula mengambil atau meningkatkan penggunaan ubat atau alkohol
  • Bertindak cemas atau gelisah
  • Mengambil risiko atau bertindak melulu
  • Mula tidur lebih atau kurang daripada biasa
  • Mengasingkan diri sendiri secara sosial, atau bercakap mengenai rasa terpencil
  • Bersikap pemarah atau berusaha membalas dendam
  • Menunjukkan perubahan mood yang melampau

BAGAIMANA UNTUK MEMBANTU MEREKA?

Apa yang boleh anda lakukan ialah bertanya kepada remaja itu secara langsung: “Adakah anda merancang untuk mengambil nyawa anda sendiri?” Dan “Adakah anda sudah mempunyai rancangan untuk melaksanakannya?”

Jika jawapannya adalah ya kepada salah satu atau kedua-duanya, jangan cuba mengendalikan mereka secara sendiri atau merahsiakannya. Bawa remaja itu berjumpa doktor, psikologi atau pusat bantuan mental untuk mendapatkan bantuan.

Ini perlu dilakukan sebelum memberitahu ibu bapa mereka kerana kadang-kadang, ibu bapa atau penjaga mungkin bertindak balas dengan kasar, atau mungkin menjadi punca mengapa remaja itu merancang untuk membunuh diri.

Sumber: Star2

Show More

Related Articles

Back to top button