Isu SemasaMalaysiaTempatan

“Kepimpinan Melalui Teladan” Dalam Memerangi Rasuah

Pada tahun 1983, Tun Dr. Mahathir, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat pada ketika itu, telah memperkenalkan slogan “Kepimpinan Melalui Teladan”.

Dalam pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh kali ini, slogan berkenaan digunakan semula dalam usaha memerangi gejala rasuah yang berleluasa.

“Sejak Pakatan mengambil alih pentadbiran, kami telah bekerja keras untuk memerangi rasuah memandangkan ia adalah salah satu janji (pilihan raya) kami,” kata beliau.

Pada 10 Julai, Dr. Mahathir, barisan Kabinetnya, serta ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) telah menghadiri satu sesi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diberi taklimat mengenai tadbir urus, integriti, dan anti-rasuah.

Sesi khas tersebut bertujuan untuk memastikan semua ahli parlimen memahami dasar pengisytiharan aset, penerimaan hadiah, serta pengurusan peruntukan yang diberi kepada mereka.

Dr. Mahathir turut berharap agar tiada seorang pun daripada anggota-anggota kerajaan serta wakil-wakil rakyat PH terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

“Kita harus mempamerkan diri sebagai pemimpin yang berwibawa, amanah, berintegriti dan tidak bertoleransi dengan jenayah rasuah.

“Setiap daripada kita perlu mendokong agenda antirasuah nasional dan merealisasikan agenda membebaskan negara daripada isu rasuah,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull juga telah menyentuh mengenai kesalahan-kesalahan yang lazim yang dilakukan oleh anggota-anggota di dalam pentadbiran kerajaan.

Memetik laporan The Star bertarikh 11 Julai, Dr. Mahathir menyatakan bahawa rasuah hanya boleh dihapuskan dengan berjaya sekiranya pemimpin-pemipin atasan di dalam kerajaan (daripada perdana menteri sehingga jemaah menteri) benar-benar bebas daripada amalan-amalan korup.

“Contoh yang baik perlu ditunjukkan oleh kepimpinan. Jika perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain tidak terlibat dalam rasuah, peluang untuk mengurangkan atau menghapuskan terus gejala itu akan bertambah baik.

“Jika kita minta orang-orang di bawah kita untuk menentang rasuah (sedangkan kita sendiri tidak melakukannya), rasuah akan terus berlaku,” ujar beliau.

Selain itu, semua ahli parlimen PH juga perlu mengisytiharkan aset-aset mereka serta hadiah yang diterima bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang bentuk salah laku.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan ahli keluarga kepada anggota parlimen PH untuk mengisytiharkan aset mereka juga.

“Ini melibatkan ramai orang, termasuk ahli keluarga wakil-wakil rakyat. Kita sedang mempertimbangkan berapa banyak (maklumat mengenai pengisytiharan harta) yang boleh didedahkan kepada rakyat kerana ia mungkin akan menjejaskan privasi mereka,” tambahnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button