AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Selepas Perang Dadah, Duterte Lancar Kempen “Perang Melepak” Pula?

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah menjadi salah seorang pemimpin yang paling berkontroversi di dunia apabila beliau melancarkan kempen brutal untuk memerangi dadah sejak dilantik untuk mentadbir negaranya pada tahun 2016.

Sepanjang dua tahun mentadbir negara, sekurang-kurangnya 4,500 orang suspek dadah telah dibunuh oleh pihak berkuasa kerana mereka didakwa “melawan ketika hendak ditangkap”.

Tidak cukup dengan perang dadah, Duterte dilaporkan telah melancarkan sebuah kempen baharu yang kini menyasarkan individu-individu yang berlegar-legar atau “melepak” di luar pada waktu malam.

Memetik laporan Reuters, pasukan polis akan bergerak secara berkumpulan pada setiap malam untuk melakukan rondaan di kawasan-kawasan terpinggir di sekitar bandar Manilla, iaitu ibu kota Filipina.

Difahamkan, penduduk setinggan yang membanjiri jalanan serta remaja-remaja yang melepak di siber kafe merupakan antara golongan yang menjadi sasaran.

Selain itu, kanak-kanak yang berlegar-legar di luar turut diberi amaran bahawa ibu bapa mereka akan dipenjarakan disebabkan kesalahan mereka.

Bukan itu sahaja, malah sesiapa yang didapati merokok atau minum minuman beralkohol di luar juga akan ditahan dan dibawa ke pejabat daerah.

Nama dan alamat rumah mereka juga akan direkodkan diikuti dengan “amaran keras” daripada pihak berkuasa.

Difahamkan, Duterte telah melancarkan kempen ini secara tiba-tiba pada 13 Jun bulan lepas.

Di dalam ucapannya, presiden yang turut dikenali sebagai “The Punisher” itu menyatakan bahawa individu-individu yang melepak di jalanan perlu diarahkan untuk pulang ke rumah.

Sekiranya ingkar dengan arahan, Duterte berkata, beliau sendiri akan “mengikat tangan dan mencampak mereka ke dalam sungai.”

Langkah ekstrim telah mengundang kecaman daripada pelbagai aktivis, kumpulan undang-undang dan anggota-anggota parlimen pembangkang yang menyifatkannya sebagai tindakan yang “tidak mempunyai asas undang-undang.”

Mereka turut menyatakan bahawa Duterte sekali lagi mengganggu golongan miskin di Manila, sedangkan mereka sudah pun ‘trauma’ dengan kempen brutal perang dadah beliau.

“Ia hanya bertujuan untuk mengawal orang miskin, dengan menggunakan kekerasan atau ancaman untuk menakut-nakutkan mereka.

“Untuk apa? Niatnya adalah untuk menghalang mereka daripada melawan,” kata Antonio Tinio, seorang ahli Kongres pembangkang.

Walau bagaimanapun, langkah ini yang dilihat oleh Duterte sebagai “kempen pencegahan jenayah” tidak mendapat reaksi yang buruk daripada majoriti rakyat.

Dari aspek “pemimpin yang cakap serupa bikin,” rakyat Filipina masih memberi sokongan padu terhadap kepimpinan beliau.

Berdasarkan sebuah tinjauan pendapat oleh Pulse Asia pada bulan lepas, 88% rakyat berpuas hati dengan prestasi Duterte sebagai presiden negara itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button