Isu SemasaTempatan

Kerajaan Johor Ingin Pastikan Pasangan Muda Sedar Akan Tanggungjawab Perkahwinan

Trend berkahwin muda adalah popular di kalangan generasi milenium. Jika melihat Instagram, gambar perkahwinan sering dikongsi bersama rakan-rakan dan ia kerap menerima komen seperti #relationshipgoals.

Namun sedarkah pasangan muda bahawa perkahwinan adalah satu tanggungjawab yang berat?

Kerajaan Johor kini merancang satu inisiatif bagi membantu pasangan muda melihat gambaran kehidupan setelah berkahwin sebelum membenarkan mereka melangkah ke dalam dunia perkahwinan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Islam Johor, Aminolhuda Hassan berkata antara program dalam rancangan adalah pengenalan sukatan pelajaran baharu dalam kursus pra-perkahwinan Jabatan Agama Islam negeri.

Sebagai contoh, topik baharu yang akan diperkenalkan adalah mengenai kewangan keluarga.

“Mungkin ada sebab mengapa ibu bapa atau penjaga mahu menikahkan anak-anak mereka, tetapi perkahwinan bukan mudah, terutama bagi pasangan muda,” kata Aminolhuda.

“Mereka mesti tahu tanggungjawab mereka, terutama bagi suami muda yang kini harus menjaga isterinya kerana dia telah diamanahkan tanggungjawab tersebut,” katanya.

The Star melaporkan bahawa umur minimum bagi wanita untuk berkahwin adalah 16, dan 18 untuk lelaki.

Di Johor, selain mendapat persetujuan daripada keluarga mereka, pasangan berkenaan juga perlu mendapatkan kelulusan kadi. Mereka juga perlu menghadiri kursus pra-perkahwinan.

Aminolhuda, yang juga Anggota Dewan Parit Yaani, berkata jabatan agama negeri akan mengumpulkan data tentang pasangan suami isteri di sekitar negeri.

Tambahnya lagi, khidmat kaunseling rumah tangga juga akan diberi kepada pasangan muda untuk mengelakkan daripada berlakunya penceraian, yang mungkin akan menimbulkan masalah lain.

Show More

Related Articles

Back to top button