HiburanWayang

Hollywood Bakal Keluarkan Filem Misi Menyelamat Wild Boars

Tragedi sekumpulan pemain bola sepak bersama jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua Tham Luang telah menggemparkan Thailand dan juga seluruh dunia.

Kejadian tersebut mendapat liputan luas oleh media tempatan serta antarabangsa, daripada berita pertama tentang kehilangan mereka kepada rakaman pertama ketika mereka dijumpai oleh sepasang penyelam British.

Pada 10 Julai, semua mangsa akhirnya berjaya diselamatkan.

Kisah mereka bukan sahaja memberi inspirasi kepada ramai malah seorang penerbit dari Pure Flix Entertainment turut tersentuh dengan kejadian itu dan berhasrat untuk menerbitkan  sebuah filem tentang misi menyelamat pasukan bola sepak Wild Boars yang mengambil masa 18 hari.

Pengasas bersama Pure Flix Entertainment, Michael Scott mempercayai kejadian tersebut sesuai diadaptasi menjadi filem kerana dapat memberi inspirasi kepada ramai.

Scott berkata dia mempunyai hubungan rapat dengan cerita itu kerana isterinya merupakan seorang warga Thailand dan mereka berada di Bangkok ketika kumpulan bola sepak Wild Boars tidak dapat ditemui.

Scott bersama rakan penerbitnya, Adam Smith telah melawat tapak di sekitar gua yang terletak di utara Thailand itu dan telah mula bertemu dengan beberapa ahli yang terlibat dalam misi menyelamat.

Ia dilaporkan bahawa mereka belum lagi berbincang dengan keluarga mangsa yang pada ketika ini tidak dinasihatkan untuk bertemu dengan pihak media.

Namun pelbagai cabaran lain menanti mereka, kebanyakan filem yang dicadangkan pada peringkat awal tidak selalunya dihasilkan.

Kini kedua-dua penerbit itu masih pada peringkat mencari penulis skrip dan syarikat produksi lain tentunya akan cuba mengeluarkan filem yang sama dengan produksi yang lebih besar.

Lebih-lebih lagi, filem yang berdasarkan kisah sebenar selalunya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan oleh penonton.

Sebagai contoh, walaupun filem Sully yang diarah oleh Clint Eastwood berjaya di cinema, filem dokumentari yang diarah oleh beliau tentang serangan kereta api Thalys pada tahun 2015, The 15:17 To Paris mendapat sambutan yang mengecewakan.

Show More

Related Articles

Back to top button