AntarabangsaAsiaIsu Semasa

Grab Mahu Bina “Super-App” Untuk Membantu Jutaan Penggunanya

Syarikat e-hailing terkemuka, Grab sedang membuka aplikasinya kepada pemaju-pemaju luar serta syarikat-syarikat pemula niaga (startup), untuk membina sebuah “aplikasi super” seakan-akan WeChat yang merangkumi segala perkara termasuk pemetaan, pembayaran dan penghantaran makanan.

Langkah ini menggambarkan impian syarikat yang berpangkalan di Singapura itu untuk mewujudkan aplikasi harian yang akan membantu jutaan pengguna dalam melaksanakan pelbagai aktiviti harian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab, Anthony Tan dalam satu temubual, ia termasuk perkhidmatan menghantar barangan runcit menerusi kerjasama dengan peruncit atas talian, HappyFresh, dalam usaha menandingi kejayaan pesaing serantaunya, Go-Jek yang menawarkan perkhidmatan melangkaui e-hailing.

Memetik laporan Bloomberg, perkhidmatan baru ini dijangka akan membantu Grab meraih pendapatan sebanyak AS$1 bilion (RM4.06 bilion) buat pertama kali pada tahun ini.

Difahamkan, inisiatif tersebut dirancang apabila Grab berhadapan tuduhan bahawa ia menggunakan kuasa monopoli di pasaran tempatan.

Syarikat startup yang sudah berusia enam tahun itu turut berhasrat untuk mengulangi kejayaan syarikat gergasi teknologi China dari aspek hubungan bersama pengguna.

Dalam pada itu, sistem mesej aplikasi WeChat yang dimiliki oleh Tencent Holdings Ltd membolehkan kira-kira satu bilion pengguna untuk memesan makanan, memanggil teksi dan membuat bayaran.

Namun, Grab mungkin akan mengalami kesukaran untuk mengikuti jejak langkah Tencent memandangkan ia tidak mempunyai ‘user base‘ yang besar – satu daya tarikan penting untuk pemaju pihak ketiga.

Namun menurut Tan, Grab, yang telah dinilai pada AS$6 bilion oleh syarikat CB Insights, mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

“Rakan kongsi boleh memanfaatkan aset kami untuk membantu mereka berkembang.

“Kami tidak mahu menjadi ‘semua perkara untuk semua orang’; tetapi kami mahu memberi fokus terhadap perkhidmatan-perkhidmatan seharian, dengan menggunakan infrastruktur pembayaran dan pengangkutan di seluruh rantau,” kata Tan.

Grab merupakan salah satu aplikasi di Asia Tenggara yang mempunyai kekuatan geografi yang meluas.

Ia mengendalikan lebih daripada 7 juta pemandu, ejen dan pedagang yang melibatkan 225 bandar di 8 buah negara.

Aplikasi syarikat itu juga telah dimuat turun oleh lebih daripada 100 juta alat peranti mudah alih.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button